BEATROOT Festival 2026 Bawa Ledakan Muzik Viral Indonesia ke Sarawak

BEATROOT Festival 2026 Bawa Ledakan Muzik Viral Indonesia ke Sarawak

0
SHARE

KUCHING: Festival muzik dan budaya serantau, BEATROOT Festival @ Tee.F.Dee 2026 bakal berlangsung di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) dari 21 hingga 23 Mei ini, menampilkan artis viral Indonesia, Juan Reza buat pertama kali di Sarawak.

Festival bertemakan “The Beat of Friendship, Rooted in Culture” itu mengetengahkan muzik sebagai medium penyatuan budaya Asia Tenggara melalui persembahan, fesyen dan kolaborasi kreatif.

Juan Reza, yang popular dengan lagu “Tabola Bale” dan diiktiraf YouTube Music Academy 2025 sebagai artis dengan pertambahan pelanggan tertinggi, akan menjadi antara tarikan utama bersama SonaOne, Shigga Shay, Saykoji dan Teza Sumendra.

Penganjur menyifatkan festival ini sebagai gerakan budaya serantau, bukan sekadar acara hiburan.

Sepanjang tiga hari, pengunjung dijangka disajikan persembahan bertenaga, koreografi viral, pameran budaya jalanan dan produksi visual imersif.

Tiket dijual bermula RM245 (harian) hingga RM965 (VIP tiga hari), dengan jualan awal mendapat sambutan menggalakkan.

BEATROOT Festival merupakan acara utama Tee.F.Dee 2026, platform yang menghimpunkan empat komponen utama iaitu SEAMEX, COLLAB-HUB, CRAFTXIBITION dan festival muzik tersebut, dalam usaha mengangkat Kuching sebagai hab kreatif dan diplomasi budaya serantau.

Program ini dijangka menarik penyertaan pelawat, pemain industri dan komuniti kreatif dari seluruh Asia Tenggara serta merancakkan sektor pelancongan dan ekonomi kreatif negeri.