Bomba Keluarkan Pemandu Tersepit Selepas Lori Terjatuh Dalam Gaung Sedalam 40 Kaki

Bomba Keluarkan Pemandu Tersepit Selepas Lori Terjatuh Dalam Gaung Sedalam 40 Kaki

0
SHARE

PITAS: Seorang pemandu lori 10 tan yang tersepit berjaya dikeluarkan pasukan bomba selepas kenderaan dipandunya terbabas sebelum terjatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira 40 kaki di Kampung Toliduson, di sini, petang semalam.

Ketua Balai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pitas, Noor Jali Maslah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan menerusi talian balai pada jam 4.42 petang.

Menurut beliau, sepasukan lima anggota bersama sebuah jentera CFRT dikerahkan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 22 kilometer dari balai sebelum tiba pada jam 5.04 petang.

“Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan sebuah lori 10 tan yang terbabas dan jatuh ke dalam gaung sedalam 40 kaki.

“Terdapat seorang mangsa tersepit di bahagian pemandu berjaya dikeluarkan menggunakan peralatan Rescue Tool dengan bantuan dua buah excavator,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Operasi menyelamat diketuai PBK I Mohd Nor Azmer Mat Shor Nasir.

Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.

Turut membantu operasi ialah enam anggota polis serta tiga anggota Kementerian Kesihatan Malaysia.

Noor Jali berkata, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 9.37 malam selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.