PAITAN: Naib Presiden Kadazan Dusun Cultural Association (KDCA), Datuk James Ratib mencadangkan agar singkatan KDMR yang merujuk kepada Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus ditambah dengan huruf ‘S’ bagi mewakili etnik Sungai sekali gus menjadi KDMRS.
Memetik laporan SGmedia, beliau berkata cadangan itu dikemukakan sebagai pengiktirafan terhadap masyarakat Sungai yang merupakan antara suku di bawah rumpun Paitanik serta salah satu etnik utama di Sabah khususnya di kawasan Pantai Timur.
Menurut James, penambahan huruf ‘S’ penting bagi memastikan masyarakat Sungai turut diiktiraf secara rasmi dalam kelompok etnik pribumi terbesar di negeri ini.
“Sememangnya perlu dimasukkan ‘S’ kerana suku Sungai juga adalah salah satu etnik dalam rumpun KDMR dan jumlah mereka antara yang paling ramai di Sabah terutama di Pantai Timur.
“Walaupun sebutan KDMRS mungkin sedikit panjang namun ia tidak menjadi masalah asalkan semua etnik berasa dihargai,” katanya ketika ditemui media pada Majlis Perasmian Pesta Kaamatan Daerah Paitan yang dirasmikan Joseph Pairin Kitingan pada 14 Mei lalu.
James yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sugut berkata masyarakat Sungai mempunyai sejarah, budaya dan warisan tersendiri selain memainkan peranan penting dalam pembangunan sosial, ekonomi dan budaya Sabah.
Katanya, pengiktirafan melalui penambahan huruf ‘S’ bukan sekadar perubahan singkatan tetapi membawa makna besar dari segi penghormatan terhadap identiti dan sumbangan etnik itu kepada negeri.
“Etnik Sungai mempunyai adat, bahasa dan tradisi yang unik. Mereka adalah sebahagian daripada kekuatan masyarakat pribumi Sabah dan wajar diberikan tempat yang setara dalam apa juga bentuk representasi kebudayaan.
“Malah saya sendiri mewakili suku Sungai menjadi antara kepimpinan tertinggi dalam KDCA iaitu sebagai Naib Presiden 1,” ujarnya.
Beliau berkata pengiktirafan yang lebih inklusif akan meningkatkan semangat kekitaan dalam kalangan generasi muda untuk terus memelihara identiti budaya masing-masing.
“Justeru setiap kaum harus diberikan penghormatan sewajarnya agar warisan dapat terus dipertahankan untuk generasi akan datang,” katanya.
Untuk rekod, singkatan KDMR digunakan secara meluas bagi merujuk empat kumpulan etnik utama di Sabah iaitu Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus.
Jika cadangan itu diterima, KDMRS akan turut merangkumi masyarakat Sungai sebagai sebahagian daripada komponen penting dalam landskap budaya dan sosial negeri ini.






