Pelancong Warga Emas China Maut Dihempap Dahan Pokok di Sandakan

Pelancong Warga Emas China Maut Dihempap Dahan Pokok di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang pelancong warga China berumur 74 tahun maut selepas dihempap dahan pokok yang tumbang di Rainforest Discovery Centre (RDC), Batu 14, di sini, pada petang Selasa.

Ketua Polis Daerah Sandakan, ACP Abdul Fuad Abdul Malek, memaklumkan bahawa kejadian berlaku sekitar jam 2.45 petang ketika mangsa bersama empat ahli keluarganya dalam perjalanan keluar dari pusat pelancongan tersebut. 

Katanya, mangsa yang mengalami kecederaan parah di kepala dikejarkan ke Hospital Duchess of Kent Sandakan, namun disahkan meninggal dunia pada jam 4.28 petang.  

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, dan bedah siasat dijadualkan dijalankan pada jam 2.00 petang Khamis,” katanya dalam sebuah kenyataan.

Sementara itu, Jabatan Perhutanan Sabah akan memberikan bantuan kepada keluarga mangsa.

Ketua Konservator Hutan Sabah, Datuk Frederick Kugan, menyatakan kejadian itu adalah insiden alam yang tidak diduga.

Katanya, sebagai langkah keselamatan, pusat itu ditutup selama dua hari untuk pemeriksaan menyeluruh dan penilaian risiko di sepanjang laluan pelawat.

“Program alternatif akan disediakan bagi kumpulan pelancong yang terjejas,” jelasnya dalam sebuah kenyataan.

Frederick menzahirkan rasa simpati kepada keluarga mangsa dan menegaskan komitmen jabatan dalam memastikan keselamatan pelawat di kawasan tersebut.