KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan berusahan menangani masalah air bagi memastikan penduduk di setiap kawasan mendapat bekalan air yang mencukupi, terutama ketika menghadapi fenomena El Nino atau cuaca panas dan kemarau ketika ini.
Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, beliau juga akan memberikan komitmen penuh untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang sering membelenggu rakyat pada tahun ini, termasuk menaik taraf dan menambah baik loji rawatan di semua daerah.
“Kita banyak masalah air tidak terhasil. 60 peratus. Hal ini ekoran kemungkinan kecurian air dan paip di bawah tanah yang pecah. Kerajaan negeri akan menangani masalah ini.
“Kita juga mendapat bantuan RM300 juta daripada kerajaan pusat. Kita akan gunakannya untuk selesaikan masalah air ini. Jadi, jangan bimbang, kita akan berusaha sedaya upaya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Universiti Pengurusan dan Teknologi Tunku Abdul Rahman cawangan Sabah di sini, pada Sabtu.
Terdahulu, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Azmi Nik Ahmad dilaporkan berkata, jabatan dan agensi berkaitan diminta bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar dan operasi pembenihan awan bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomena El Nino ketikai ini.
“Jabatan dan agensi terlibat perlu sentiasa bersedia melaksanakan pemadaman kebakaran berskala besar secara serta-merta dan operasi pembenihan awan sekiranya diperlukan, tertakluk kepada keadaan atmosfera yang sesuai.
“Kerajaan juga sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering serta fenomen El Nino,” katanya dalam kenyataan, semalam.