KOTA KINABALU: Universiti Malaysia Sabah (UMS) menegaskan bahawa sebarang kenyataan, tindakan atau pendirian yang dibuat oleh kumpulan pelajar yang menggelar diri mereka sebagai “Suara Mahasiswa UMS” berhubung isu pertindihan tanah di Kampung Asaon, Matunggong adalah atas kapasiti peribadi dan tidak mewakili pendirian rasmi universiti.
Dalam satu kenyataan media pada Rabu, pihak pengurusan UMS berkata, universiti mengambil maklum mengenai aktiviti turun padang serta kenyataan yang dikeluarkan kumpulan mahasiswa terbabit berkaitan isu berkenaan.
Menurut UMS, sebagai institusi menara gading yang menjunjung kematangan intelektual serta menghormati kepelbagaian pandangan, universiti sentiasa menghormati hak kebebasan bersuara dan kebebasan akademik dalam kalangan warganya.
“Walau bagaimanapun, kebebasan tersebut hendaklah dilaksanakan secara bertanggungjawab selaras dengan peruntukan undang-undang, Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971 (AUKU) serta peraturan-peraturan universiti yang sedang berkuat kuasa.
“UMS sentiasa mengingatkan mahasiswa agar setiap program aktivisme, kesedaran awam atau khidmat komuniti yang dilaksanakan di luar kampus hendaklah berpaksikan fakta yang sahih, mematuhi lunas undang-undang negara serta memelihara tatatertib dan nama baik universiti,” menurut kenyataan itu.
UMS turut menegaskan bahawa kenyataan dan tindakan kumpulan terbabit tidak mewakili dasar atau pandangan pengurusan tertinggi universiti termasuk lebih 22,000 mahasiswa aktif institusi itu.
Pada masa sama, universiti berkenaan menyeru mahasiswa supaya sentiasa menghormati adat resam setempat, menyantuni sensitiviti masyarakat dan memelihara keharmonian komuniti dalam setiap aktiviti yang dilaksanakan.
“UMS menyeru seluruh warga mahasiswa agar terus mengamalkan sikap berdisiplin, berintegriti dan bertanggungjawab dalam setiap tindakan selaras dengan nilai universiti serta peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.
“Semua pihak juga diingatkan supaya menghormati peranan institusi penguat kuasa dalam memastikan ketenteraman awam dan kesejahteraan masyarakat sentiasa terpelihara,” katanya.






