KOTA KINABALU: Angkatan Muda KEADILAN Sabah (AMK Sabah) menegaskan kekuatan organisasi dan kestabilan kepimpinan parti di negeri ini tidak terjejas walaupun dua Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mengambil keputusan meninggalkan parti baru-baru ini.
Ketua AMK Sabah, Zaidi Jatil berkata, seramai 25 Ketua AMK Cabang di seluruh Sabah kekal teguh berdiri memberikan sokongan penuh kepada Presiden KEADILAN, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Ketua Angkatan Muda KEADILAN Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Menurut beliau, AMK Sabah melihat perbezaan pandangan dan keputusan politik sebagai perkara biasa dalam sebuah parti demokratik, namun fokus utama ketika ini adalah memperkukuh persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU).
“Keutamaan ketika ini bukan untuk melayani polemik politik yang berpanjangan, sebaliknya memberi tumpuan penuh kepada persediaan menghadapi PRU yang boleh berlaku pada bila-bila masa,” katanya dalam satu kenyataan media pada Jumaat.
Zaidi berkata, seluruh jentera AMK Sabah akan terus memperkukuh gerak kerja organisasi, mendekati golongan muda, memperhebat agenda penerangan serta meningkatkan kesiapsiagaan jentera di semua peringkat.
Katanya, fokus utama AMK Sabah adalah memastikan KEADILAN terus menjadi wadah perjuangan rakyat yang konsisten membawa agenda reformasi, kestabilan dan masa depan lebih baik untuk Malaysia serta Sabah khususnya.
Beliau turut menyeru semua pihak agar mengamalkan politik matang dan beretika selain mengelakkan budaya serangan peribadi atau fitnah yang boleh melemahkan keyakinan rakyat terhadap politik negara.
“AMK Sabah akan terus mara ke hadapan dengan semangat solidariti, kesetiaan dan iltizam untuk memperkukuh perjuangan parti demi rakyat dan masa depan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada mantan pimpinan yang meninggalkan parti atas segala jasa dan sumbangan yang pernah dicurahkan sepanjang bersama perjuangan KEADILAN.






