LAHAD DATU: Lima lelaki ditahan manakala sejumlah dadah jenis syabu serta air dan serbuk ketum dirampas dalam Ops Bersepadu yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJND) bersama Pasukan Gerakan Am (PGA), pada Isnin.
IPD Lahad Datu dalam satu kenyataan berkata, operasi bersepadu yang dijalankan pada 26 Mei lalu itu merupakan sebahagian usaha berterusan polis dalam membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah berkenaan.
Menurut kenyataan itu, dalam serbuan di Ladang Matambak, Silabukan, pihak polis menahan dua lelaki serta merampas 24 liter air ketum, 1.8 kilogram serbuk ketum dan enam botol ubat batuk jenama Dynadryl.
“Berikutan itu, pasukan BSJND yang menjalankan Ops Tapis di kawasan belakang bangunan Econsave, Jalan Reno Fajar telah menahan tiga lelaki dalam dua kejadian berasingan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa paket syabu dengan jumlah keseluruhan seberat 5.59 gram,” menurut kenyataan itu di sini, semalam.
Katanya, kesemua suspek yang ditahan turut menjalani ujian saringan awal dan didapati positif dadah jenis Amphetamine dan Methamphetamine.
“Seorang daripada suspek turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah,” katanya.
Menurut IPD Lahad Datu, kesemua suspek berusia lingkungan 20-an hingga 40-an kini direman bagi membantu siasatan lanjut mengikut Akta Dadah Berbahaya 1952.
“IPD Lahad Datu akan terus menggempur pengedar dan penagih dadah tanpa kompromi.
“PDRM menyeru kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti dadah di kawasan masing-masing ke IPD Lahad Datu di talian 089-881999 dan identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” menurut kenyataan itu lagi.






