KOTA KINABALU: Hungary dan Sabah berpotensi memperkukuh kerjasama dalam pembangunan pertanian mampan, pemindahan teknologi, penyelidikan serta penghasilan tenaga boleh diperbaharui melalui pemanfaatan sisa pertanian.
Duta Hungary ke Malaysia, Dr. Dr. Sándor Sipos berkata, peningkatan jumlah sisa pertanian di seluruh dunia menjadikan pengurusan dan penggunaan sumber tersebut sebagai cabaran global yang memerlukan penyelesaian inovatif melalui kerjasama antarabangsa.
Menurut beliau, penukaran sisa pertanian kepada tenaga hijau bukan sahaja mampu mengurangkan impak terhadap alam sekitar, malah berpotensi mewujudkan nilai ekonomi baharu dan menyokong agenda pembangunan mampan.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar, di sini pada Sabtu.
Dalam pertemuan itu, kedua-dua pihak bertukar pandangan mengenai peluang kerjasama dalam bidang pertanian moden, ekonomi hijau, teknologi tenaga boleh diperbaharui serta pengurusan sisa pertanian dan sisa domestik.
Dr. Sándor berkata Hungary mempunyai kepakaran yang luas dalam teknologi pertanian, pengurusan sisa, tenaga biomas dan teknologi hijau yang boleh diterokai bersama Sabah bagi menyokong usaha transformasi hijau dan memperkukuh keselamatan makanan.
“Kerjasama yang lebih erat antara Hungary dan Sabah bukan sahaja dapat meningkatkan pertukaran teknologi dan pengetahuan, malah memberi manfaat kepada pembangunan ekonomi dan perlindungan alam sekitar,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa Kerajaan Hungary menawarkan 40 biasiswa kepada Malaysia setiap tahun dan berharap lebih ramai pelajar dari Sabah dan Sarawak mengambil peluang melanjutkan pengajian tinggi di negara itu bagi memperkukuh hubungan pendidikan serta pembangunan modal insan antara kedua-dua pihak.
Turut hadir pada pertemuan tersebut ialah Konsul Kehormat Hungary di Malaysia, Datuk Damien Chua.






