PENAMPANG: Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Jamawi Jaafar berharap sebahagian daripada peruntukan interim tambahan RM1.5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dapat disalurkan bagi memperkukuh pembangunan industri padi di negeri ini.
Beliau berkata, langkah itu penting bagi meningkatkan tahap sara diri pengeluaran beras Sabah yang ketika ini hanya mampu memenuhi kira-kira 20 peratus daripada keperluan rakyat negeri ini.
“Sebagai Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan saya masih belum dapat meraikan dengan penuh kegembiraan kerana harus kita memberikan kesedaran kepada rakyat kita Pesta Kaamatan adalah sambutan untuk meraikan hasil padi Tetapi di Negeri kita hanya mengeluarkan lebih kurang 20 peratus hasil padi. Masih banyak yang harus dibuat dan perkara yang harus diperkembangkan dan perjuangkan dalam membangunkan industri padi.
“Saya mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri mengenai tambahan peruntukan interim RM1.5 bilion tahun ini sementara menunggu pemuktamadan dan penentuan jumlah sebenar pemberian khas 40 peratus kepada Sabah,” katanya ketika ditemui media di Majlis Perasmian Pameran Peralatan Tradisi dan Makanan Tradisi Murut di Rumah Tradisi Murut Tenom, Hongkod Koisaan KDCA pada Sabtu.
Menurut Jamawi, sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan setiap tahun mempunyai hubungan rapat dengan industri padi yang menjadi asas kepada perayaan itu sejak turun-temurun.
Katanya, usaha memperkukuh sektor padi perlu diberi perhatian serius agar warisan budaya yang berkait rapat dengan penanaman padi dapat terus dipelihara.
Sehubungan itu, beliau berharap isu pembangunan industri padi akan terus diberi keutamaan dalam agenda pembangunan negeri selaras dengan usaha memperkukuh sektor pertanian dan menjamin bekalan makanan yang mampan untuk rakyat Sabah.
Beliau berkata, peningkatan pengeluaran padi tempatan bukan sahaja penting bagi menjamin keselamatan makanan negeri, malah mampu mengurangkan kebergantungan Sabah terhadap bekalan beras dari luar.
“Saya berharap sebahagian daripada peruntukan itu dapat digunakan untuk pembangunan industri padi di Sabah,” katanya.






