Masidi Puji Semangat Kental 16 Alumni Yayasan Terengganu Tawan Kinabalu

Masidi Puji Semangat Kental 16 Alumni Yayasan Terengganu Tawan Kinabalu

0
SHARE

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Masidi Manjun memuji semangat kental, disiplin tinggi dan kerjasama erat yang ditunjukkan 16 ahli Alumni Yayasan Terengganu yang berjaya menawan puncak Gunung Kinabalu pada 30 Mei lalu.

Masidi yang juga Menteri Kewangan berkata, kejayaan menamatkan ekspedisi berkenaan membuktikan ketahanan fizikal dan mental yang tinggi dalam kalangan peserta, selain semangat berpasukan yang menjadi kunci utama kejayaan pendakian tersebut.

Menawan puncak Gunung Kinabalu bukanlah satu tugas yang mudah. Ia memerlukan persediaan rapi, ketahanan fizikal dan mental yang tinggi serta semangat berpasukan yang kukuh.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli Alumni Yayasan Terengganu yang berjaya menyempurnakan ekspedisi ini dengan jayanya. Saya juga berharap para peserta dapat menikmati percutian di Sabah serta membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri yang terkenal dengan keindahan alam semula jadi, kepelbagaian budaya dan keramahan rakyatnya,” katanya.

Ucapan itu disampaikan menerusi Setiausaha Politik beliau, Johari Suhaimin ketika Majlis Pertemuan Program Kibaran Bendera Alumni Yayasan Terengganu bersama peserta ekspedisi di sebuah hotel di sini, pada Isnin.

Menurut Johari, kejayaan tersebut bukan sahaja menjadi kebanggaan peserta, malah wajar dijadikan inspirasi kepada generasi muda untuk terus berani mencabar diri, membina daya tahan dan mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti rekreasi serta sukan lasak.

Beliau berkata, Gunung Kinabalu bukan sekadar destinasi pendakian bertaraf dunia, malah merupakan simbol kebanggaan rakyat Sabah yang mencerminkan keindahan alam semula jadi serta kepelbagaian budaya negeri itu.

“Ekspedisi ini bukan sahaja memberi pengalaman bermakna kepada para peserta, malah membantu mempromosikan Sabah sebagai destinasi pelancongan yang kaya dengan keunikan alam semula jadi, budaya dan warisan bertaraf dunia,” katanya.

Johari turut merakamkan penghargaan kepada Alumni Yayasan Terengganu atas komitmen mereka menganjurkan program yang berteraskan pembangunan sahsiah, semangat berpasukan dan kecintaan terhadap negara.

Katanya, hubungan yang terjalin antara Alumni Yayasan Terengganu dan Kerajaan Negeri Sabah diharap dapat terus diperkukuhkan melalui pelbagai bentuk kerjasama pada masa hadapan, khususnya dalam bidang pembangunan belia, kepimpinan, pendidikan dan kemasyarakatan.

Sementara itu, Timbalan Presiden Alumni Yayasan Terengganu, Yusrisham Ibrahim berkata kejayaan ekspedisi berkenaan adalah hasil kerjasama erat dan komitmen tinggi semua pihak yang terlibat.

Beliau bersama ahli-ahli alumni turut merakamkan penghargaan kepada Masidi, Ahli Parlimen Ranau, Datuk Jonathan Yasin, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Isnin Aliasnih, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman serta semua pihak yang telah memberikan sokongan dan bantuan dalam menjayakan Ekspedisi Bendera Alumni Menawan Puncak Gunung Kinabalu.

Menurutnya, sokongan pelbagai pihak menjadi pemangkin kepada kejayaan ekspedisi itu yang berjaya memupuk semangat perpaduan, ketahanan diri dan kerjasama dalam kalangan peserta.

Ekspedisi pendakian tersebut bermula pada 29 Mei sebelum kesemua peserta berjaya tiba di puncak Gunung Kinabalu pada awal pagi keesokan harinya.

Selain mendaki, mereka turut berpeluang melawat beberapa lokasi pelancongan menarik di Sabah termasuk Sabah Tea dan kawasan sekitar Kota Kinabalu.