KOTA KINABALU: Pasukan Ragbi Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kontinjen Sabah menerima suntikan semangat menjelang Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara 2026 apabila menerima sumbangan kewangan sebanyak RM10,000 daripada Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera Sdn Bhd, Datuk Victor P. Paut.
Sumbangan itu disampaikan bagi membantu menampung kos perjalanan pasukan ke Negeri Sembilan yang akan menjadi tuan rumah kejohanan berprestij berkenaan pada 10 hingga 14 Jun ini.
Victor yang juga Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Tambunan berkata, bantuan tersebut diharap dapat meringankan sedikit beban pasukan, khususnya bagi urusan pembelian tiket penerbangan selain menjadi pembakar semangat untuk membawa pulang kejayaan ke Sabah.
“Kita menerima rombongan daripada Pasukan Ragbi PDRM Sabah dan telah menyumbangkan RM10,000 dengan harapan bantuan ini dapat sedikit sebanyak membantu pasukan serta memberi semangat kepada mereka untuk membawa kejayaan balik ke Sabah nanti. Itu harapan kita,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan.
Beliau turut menzahirkan kebanggaan terhadap pencapaian pasukan itu yang berjaya meraih tempat ketiga keseluruhan dalam kejohanan sama tahun lalu dan berharap prestasi tersebut dapat dipertingkatkan pada edisi kali ini.
Menurutnya, pasukan ragbi PDRM Sabah bukan sahaja membawa nama pasukan dan organisasi, malah turut menggalas harapan rakyat Sabah di pentas kebangsaan.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Ragbi PDRM Sabah yang juga Pegawai Gerakan Udara (PGU) Sabah, Supt Rizal Izman Mansor merakamkan penghargaan atas sokongan yang diberikan kepada pasukan berkenaan.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada Datuk Victor kerana sudi membantu melengkapkan persiapan pasukan kami bagi menghadapi Kejohanan Ragbi Piala Ketua Polis Negara yang akan berlangsung di Seremban, Negeri Sembilan.
“Pasukan kami akan berlepas secara berperingkat bermula 6 hingga 8 Jun memandangkan harga tiket penerbangan yang berbeza-beza serta keperluan logistik pasukan,” katanya.
Beliau berkata, pasukan Sabah akan bertanding dalam dua kategori iaitu Terbuka dan Veteran, dengan kategori Terbuka disertai anggota PDRM berusia sehingga 40 tahun manakala kategori Veteran melibatkan pemain berusia lebih 40 tahun.
Menurutnya, kejayaan dalam sukan ragbi bukan semata-mata diukur melalui ganjaran kemenangan, sebaliknya maruah pasukan dan negeri menjadi keutamaan setiap pemain yang turun beraksi.
“Ragbi bukan soal wang ringgit semata-mata, tetapi soal jiwa, semangat dan keinginan untuk melihat pasukan berjaya. Sokongan seperti ini amat bermakna kepada kami,” katanya.
Beliau berkata, pasukan Ragbi PDRM Sabah menyasarkan untuk memperbaiki pencapaian tahun lalu dan sekali lagi mengharumkan nama Sabah dalam kejohanan yang menghimpunkan pasukan terbaik PDRM dari seluruh negara itu.






