TAWAU, SABAH – Seorang lelaki dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan didenda RM5,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah menunggang motosikal secara melulu, minggu lepas.
Tamring Ismail, 43, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau, Amir Shah Amir Hassan.
Tamring didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Merotai, Bombalai, dalam daerah Tawau, pukul 7.50 malam, 18 Jun.
Dia dituduh mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda antara RM5,000 hingga RM15,000 jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, tertuduh menunggang secara melulu dan berbahaya dengan memotong konvoi tiga buah kenderaan sepasukan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) ketika konvoi itu berada di jalan raya antara Sekolah Menengah Kebangsaan Abaka dan Taman Semarak.
Anggota PGA yang mengikuti konvoi itu telah memberi amaran kepada tertuduh sebanyak empat kali namun tidak diendahkan dan terus menunggang dan menyelinap antara konvoi kenderaan pasukan keselamatan itu.
Anggota PGA berkenaan kemudian berjaya memintas motosikal tertuduh.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
– BERNAMA





