300 Gram Ganja Dirampas di Penampang, Dua Pengedar Ditahan

300 Gram Ganja Dirampas di Penampang, Dua Pengedar Ditahan

0
SHARE

PENAMPANG: Polis menahan dua individu tempatan serta merampas dadah disyaki ganja seberat 294.66 gram dalam dua operasi berasingan di sekitar Putatan dan Lok Kawi, pada Khamis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, DSP Erwansyah Abdul Basir berkata, dalam operasi pertama, seorang lelaki berusia 41 tahun ditahan di tepi jalan di Putatan bersama lima paket plastik lutsinar berisi ketulan mampat tumbuhan kering disyaki ganja seberat 22.85 gram.

Hasil siasatan lanjut membawa kepada serbuan kedua di Lok Kawi yang berjaya menahan seorang wanita tempatan berusia 37 tahun bersama 16 paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki ganja seberat 271.81 gram,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata, polis turut merampas beberapa peralatan yang dipercayai digunakan untuk aktiviti pembungkusan dan pengedaran dadah.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta sebatan, jika sabit kesalahan.

“Polis Daerah Penampang akan terus mempergiatkan usaha membanteras aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan dadah demi menjamin keselamatan masyarakat,” katanya.

Orang ramai turut diseru menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis bagi membantu usaha membanteras jenayah tersebut.