Syabu Disorok Dalam Bekas Makanan, Dua Lelaki Warga Asing Dicekup Polis di...

Syabu Disorok Dalam Bekas Makanan, Dua Lelaki Warga Asing Dicekup Polis di Semporna

0
SHARE

SEMPORNA: Tindakan seorang lelaki warga asing menyembunyikan dadah disyaki jenis syabu di dalam sebuah bekas makanan tidak berjaya mengaburi pihak berkuasa apabila dia ditahan dalam operasi polis di kawasan kebun sawit Kampung Kalumpang, di sini, yang turut membawa kepada penahanan seorang lagi suspek warga asing.

Operasi yang dijalankan sepasukan anggota dari Balai Polis Semporna itu berjaya menahan suspek pertama berusia 20 tahun ketika berada di sebuah pondok kecil dalam kawasan kebun sawit berkenaan dalam keadaan mencurigakan.

Hasil pemeriksaan lanjut menemui 25 paket berisi hablur jernih disyaki syabu yang disembunyikan di dalam sebuah bekas makanan berwarna merah. Rampasan tersebut dianggarkan seberat 7.60 gram dengan nilai sekitar RM750.

Susulan itu, suspek ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dalam operasi sama di lokasi berasingan dalam kawasan kebun sawit tersebut, polis turut menahan seorang lagi lelaki warga asing berusia 50 tahun.

Pemeriksaan ke atas beg galas miliknya menemukan satu paket lutsinar bersaiz sederhana yang mengandungi hablur jernih disyaki syabu seberat 4.41 gram dengan nilai rampasan dianggarkan RM450.

Suspek kedua ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 12(3) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kedua-dua suspek kemudiannya dibawa ke Balai Polis Semporna untuk tindakan dan siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Semporna, Tan Hiap Wah berkata, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana individu yang terlibat dalam kegiatan penyalahgunaan atau pengedaran dadah.

“IPD Semporna tidak akan berkompromi dengan mana-mana individu yang terlibat dalam aktiviti penyalahgunaan dan pengedaran dadah. Pihak polis akan terus memperhebat operasi serta tindakan penguatkuasaan bagi membanteras kegiatan ini tanpa mengira status atau kewarganegaraan individu yang terlibat.

“Orang ramai juga diseru untuk terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah kepada pihak polis bagi memastikan daerah Semporna kekal aman dan bebas daripada ancaman jenayah dadah,” katanya.

Secara keseluruhan, operasi tersebut berjaya merampas 29 paket dadah disyaki syabu seberat 12.01 gram dengan nilai keseluruhan dianggarkan RM1,200.