RM49,000 Denda Dalam Sabitan Pertama OPS TIRIS 4.0 Sabah, Tiga Individu Mengaku...

RM49,000 Denda Dalam Sabitan Pertama OPS TIRIS 4.0 Sabah, Tiga Individu Mengaku Salah Seleweng Diesel

0
SHARE

KOTA KINABALU: Tiga individu dikenakan denda keseluruhan RM49,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan berasingan berkaitan urusan diesel tanpa lesen yang sah dalam sabitan pertama hasil penguatkuasaan OPS TIRIS 4.0 Bersepadu di Sabah.

Dalam prosiding di Mahkamah Sesyen Kota Kinabalu pada Khamis, Dickson Yii Hung Tie, 30, dijatuhi denda RM30,000 atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda oleh Mahkamah Sesyen 3 di hadapan Hakim Yang Arif Tuan Zaini Fishir @ Fisal. Tertuduh dilaporkan telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Sementara itu, dalam kes berasingan di Mahkamah Sesyen 4 Kota Kinabalu, Dickson Yii Hung Tie bersama Abd Rahman Muluk, 35, masing-masing dikenakan denda RM8,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda oleh Hakim Yang Arif Puan Marlina Ibrahim. Kedua-dua tertuduh turut membayar denda tersebut.

Dalam satu lagi kes, Aznan Abd. Rahim, 41, dijatuhi denda RM3,000 atau penjara empat minggu selepas mengaku bersalah atas pertuduhan yang sama. Tertuduh turut menjelaskan denda yang diperintahkan mahkamah.

Kesemua tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 yang dibaca bersama Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana berurusan dengan barang kawalan berjadual iaitu diesel tanpa lesen yang sah.

Mahkamah turut memerintahkan hasil jualan diesel yang terlibat diserahkan sebagai hasil Kerajaan Malaysia, manakala kenderaan yang digunakan dalam pelakuan kesalahan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) untuk tindakan pelucuthakan.

Bagi kesalahan tersebut, Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961 memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan bagi ketiga-tiga kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa KPDN, TK Gunasegaran Krishnan dan PMP TK Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, kejayaan memperoleh sabitan pertama OPS TIRIS 4.0 Bersepadu membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam membanteras ketirisan dan penyelewengan diesel bersubsidi di negeri ini.

“Sabitan ini membuktikan ketegasan KPDN Sabah dalam memastikan setiap kes yang mempunyai bukti dan keterangan mencukupi dibawa sehingga ke peringkat pendakwaan dan seterusnya memperoleh sabitan di mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan tegas akan terus dilaksanakan bagi melindungi subsidi kerajaan daripada disalahgunakan serta memastikan bekalan diesel bersubsidi dinikmati oleh golongan yang benar-benar layak.

Sehubungan itu, orang ramai diminta menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyelewengan barang kawalan melalui WhatsApp KPDN di talian 019-848 8000, Portal e-Aduan KPDN, Call Centre 1-800-886-800 atau aplikasi Ez ADU KPDN.