KM Hadir Majlis Kesyukuran Sempena Awal Muharam 1448H

KM Hadir Majlis Kesyukuran Sempena Awal Muharam 1448H

0
SHARE

KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Hajah Juliah Salag menghadiri Majlis Kesyukuran Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah dan Doa Awal Tahun Baharu Hijrah 1448 Peringkat Negeri yang berlangsung di Masjid Negeri Sabah, di sini pada Selasa.

Majlis itu turut dihadiri Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Datuk Musa Aman bersama Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Faridah Haji Tussin yang berkenan menyertai umat Islam negeri ini dalam memanjatkan kesyukuran serta memohon keberkatan sempena kedatangan tahun baharu Hijrah.

Majlis dimulakan dengan bacaan Doa Akhir Tahun 1447 Hijrah sebelum diteruskan dengan bacaan Doa Awal Tahun 1448 Hijrah, bacaan Surah Yassin, tahlil dan doa selamat. Program itu turut diisi dengan bacaan ayat-ayat suci Al-Quran serta Tazkirah Khas.

Majlis berkenaan merupakan antara pengisian rasmi Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Sabah 1448H/2026M bagi menyemarakkan syiar Islam, memperkukuh ukhuwah dan menghayati nilai-nilai hijrah dalam kehidupan bermasyarakat.

Turut hadir Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M. Yahya; Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kewangan Negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri, Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif; Menteri Belia dan Sukan Negeri merangkap Exco Ekonomi Kreatif, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan; Setiausaha Persekutuan Sabah, Datuk Mohd Razali Wahab; pembantu-pembantu menteri, Ahli Parlimen, ketua-ketua jabatan negeri dan Persekutuan serta pemimpin masyarakat.