KOTA KINABALU: Enggan patuh award yang diputuskan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) mengundang padah apabila seorang individu dipenjara manakala seorang lagi didenda selepas kedua-duanya mengaku bersalah di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu kerana gagal mematuhi award tribunal membabitkan jumlah keseluruhan RM41,920.
Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 [Akta 599] kerana gagal mematuhi award Tribunal dalam tempoh yang ditetapkan.
Dalam prosiding di Mahkamah Majistret 1 Kota Kinabalu pada 16 Jun lalu, A Noor Farizzah Usman, 36, mengaku bersalah kerana gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia No. TTPM-SAB-(P)-222-2025 bertarikh 28 Oktober 2025 yang mengarahkan beliau membayar RM16,920 kepada pihak yang menuntut.
Majistret Dzul Elmy Yunus menjatuhkan hukuman denda RM1,800 atau penjara lima bulan sekiranya gagal membayar denda. Bagaimanapun, tertuduh gagal menjelaskan denda tersebut dan dihantar ke penjara bagi menjalani hukuman yang diperintahkan mahkamah.
Dalam kes berasingan di Mahkamah Majistret 2 Kota Kinabalu, Mad Mohammad Yassin, 71, turut mengaku bersalah kerana gagal mematuhi Award Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia No. TTPM-SAB-(P)-208-2025 bertarikh 27 Oktober 2025 yang mengarahkan beliau membayar RM25,000 kepada pihak yang menuntut.
Majistret Wan Farrah Farriza Wan Ghazali menjatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara dua bulan sekiranya gagal membayar denda. Tertuduh bagaimanapun telah membayar denda yang dikenakan.
Pendakwaan bagi kedua-dua kes dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Gunasegaran Krishnan dan Malai Rosidi Malai Muhamad, manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam bela.
Pengarah KPDN Sabah, Shahril Nizam Shahidin berkata, tindakan tersebut membuktikan komitmen berterusan kementerian dalam memastikan setiap award yang dikeluarkan oleh Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia dipatuhi sepenuhnya.
“Tiada pihak yang boleh memandang ringan atau mengabaikan award yang telah diputuskan oleh Tribunal. KPDN Sabah akan terus mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang gagal mematuhi award Tribunal demi memastikan hak pengguna sentiasa dilindungi dan keadilan dapat ditegakkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tindakan pendakwaan akan diteruskan terhadap mana-mana pihak yang ingkar bagi memastikan keyakinan orang ramai terhadap mekanisme perlindungan pengguna terus terpelihara.
“Kami juga menggalakkan pengguna yang berdepan isu ketidakpatuhan award Tribunal supaya tampil menyalurkan maklumat dan aduan melalui saluran rasmi KPDN agar tindakan penguatkuasaan dapat diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.
Seksyen 117(1) Akta Perlindungan Pengguna 1999 memperuntukkan bahawa mana-mana pihak yang gagal mematuhi award Tribunal melakukan suatu kesalahan dan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.






