KUSKOP Sambut Baik Belanjawan 2024 Komited Realisasikan Ekonomi Madani

KUSKOP Sambut Baik Belanjawan 2024 Komited Realisasikan Ekonomi Madani

0
SHARE
Ewon
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick ( Sumber Foto: Ihsan KUSKOP )

PUTRAJAYA, SABAH – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menyambut baik pembentangan Belanjawan 2024 yang menyediakan kemudahan pinjaman dan jaminan pembiayaan untuk manfaat usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) dengan nilai keseluruhan berjumlah RM44 bilion.

Memetik sumber Nabalu News, menterinya Datuk Ewon Benedick, berkata Belanjawan 2024 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri menterjemahkan agenda reformasi ekonomi negara terutama terkait sumber hasil negara dan penyasaran subsidi.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif menyerlahkan konsep MADANI yang menjadi teras kepimpinan dan perkhidmatan Kerajaan Perpaduan.

“Jumlah nilai keseluruhan RM44 bilion jaminan dan pembiayaan kepada PMKS lebih besar daripada Belanjawan 2023 menunjukkan komitmen tinggi Perdana Menteri dan Kerajaan Perpaduan dalam mengangkat PMKS menjadi sebahagian daripada peneraju ekonomi serantau,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ewon berkata, antara insentif yang dapat dimanfaatkan menerusi KUSKOP dan agensi-agensi dibawahnya dalam Belanjawan 2024 ialah:

i. Galakan bagi syarikat pemula termasuk usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) bumiputera menceburi bidang High Growth High Value (HGHV) seperti ekonomi digital, teknologi angkasa serta elektronik dan elektrikal (E&E);

ii. Program khusus untuk PKS halal di bawah platform bersepadu halal yang menawarkan akses kepada dana khas dan program bina upaya;

iii. Pinjaman kecil usahawan mikro dan peniaga kecil sebanyak RM330 juta di bawah TEKUN untuk menyediakan kemudahan pembiayaan kepada peniaga kecil seperti pengusaha batik dan kraf, usahawan Orang Asli serta Bumiputera Sabah dan Sarawak. RM30 juta daripadanya disediakan khusus untuk membiayai perniagaan diusahakan masyarakat India. RM720 juta dikhaskan untuk menggalakkan golongan wanita dan belia menceburi bidang perniagaan;

iv. Pembiayaan sebanyak RM100 juta di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berupaya membasmi kemiskinan peminjam khususnya ibu tunggal dan golongan miskin melalui penyediaan modal perniagaan kecil-kecilan;

v. RM100 juta dana pembiayaan disediakan kepada gerakan koperasi melalui Tabung Modal Pusingan, Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) antaranya bagi membantu lebih banyak koperasi;

vi. Menaik taraf kemudahan perniagaan oleh Perbadanan Pembangunan Bandar (UDA) untuk membantu usahawan dalam meningkatkan potensi perniagaan mereka;

vii. Penyediaan kemudahan pinjaman dan jaminan khusus untuk usahawan PMKS Bumiputera meningkatkan kapasiti dan daya saing termasuklah penyediaan pembiayaan modal teroka kepada syarikat pemula Bumiputera;

viii.Peruntukan sebanyak RM20 juta bagi meneruskan Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) dibawah SME Corp. Malaysia;

ix. Peruntukan RM10 juta untuk membiayai Skim TEKUN Belia Mobilepreneur diteruskan sebagai modal anak muda yang terlibat dalam perkhidmatan penghantaran menggunakan motosikal;

x. PROTÉGÉ-RTW yang merupakan penempatan latihan pekerjaan dengan kerjasama syarikat penerima kontrak Kerajaan akan diperluaskan skop kepada golongan veteran ATM di bawah kontrak yang dimeterai oleh Kementerian Pertahanan. Setiap program Kerajaan akan mempunyai kuota khusus untuk veteran seperti program keusahawanan, latihan, pekerjaan dan kemudahan pembiayaan; dan

xi. Pelanjutan tempoh permohonan pengecualian cukai ke atas semua pendapatan perusahaan sosial (SE) sehingga tahun 2025.

Ewon turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri kerana menambah peruntukan KUSKOP.

“Seluruh warga KUSKOP akan bekerja keras memastikan belanjawan Kementerian ini sampai kepada kumpulan sasaran dan memenuhi matlamat yang telah ditetapkan,” katanya.

Beliau yakin Belanjawan 2024 bertemakan Reformasi Ekonomi, Memperkasa Rakyat dengan tiga tumpuan utama iaitu tatakelola terbaik demi ketangkasan perkhidmatan, penstrukturan semula ekonomi bagi melonjak pertumbuhan dan peningkatan darjat hidup rakyat akan dapat membangunkan sosioekonomi serta mengetengahkan solusi yang ampuh bagi membantu usahawan dan koperasi.