KOPEKS Sasar Tuaran, Ranau dan Keningau Untuk Perluasan Pusat Dialisis

KOPEKS Sasar Tuaran, Ranau dan Keningau Untuk Perluasan Pusat Dialisis

0
SHARE

KOTA KINABALU: Koperasi Kakitangan Kerajaan dan Badan-Badan Berkanun Sabah Berhad (KOPEKS) merancang memperluaskan perkhidmatan pusat dialisis ke Tuaran, Ranau dan Keningau sebagai sebahagian daripada strategi transformasi perniagaan koperasi itu dalam sektor kesihatan yang semakin berkembang.

Pengerusi KOPEKS, Datuk Dr. Saat Ag Damit berkata, langkah itu diambil susulan kejayaan pelaksanaan pusat dialisis pertama KOPEKS di Wilayah Persekutuan Labuan yang mula beroperasi kira-kira dua minggu lalu menerusi kerjasama strategik dengan ANGKASA.

Beliau berkata, sektor kesihatan kini menjadi antara fokus utama koperasi itu dalam usaha mempelbagaikan sumber pendapatan dan menyediakan perkhidmatan yang memberi manfaat langsung kepada masyarakat.

“Kami memperkenalkan tema Transformasi Perniagaan Koperasi (TPK) pada awal tahun 2025 bagi memastikan KOPEKS terus berkembang, berinovasi dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap ekonomi yang semakin mencabar.

“Kita tidak boleh lagi bergantung kepada perniagaan kredit semata-mata. KOPEKS perlu meneroka sektor yang mampu memberikan pulangan pelaburan yang lebih cepat serta memenuhi keperluan anggota dan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) KOPEKS Ke-49 di sini.

Menurut beliau, selain pusat dialisis di Labuan, KOPEKS kini dalam proses membeli sebuah premis di Aeropod, Kota Kinabalu bagi tujuan pengembangan perkhidmatan dialisis sebelum memperluaskannya ke beberapa daerah lain di Sabah.

Kami berharap dapat terus bekerjasama dengan ANGKASA dalam membuka lebih banyak pusat dialisis di negeri ini. Pada masa sama, kita sedang meninjau kawasan Tuaran, Ranau dan Keningau sebagai lokasi berpotensi untuk perkhidmatan ini pada masa hadapan,” katanya.

Saat berkata, penglibatan dalam sektor kesihatan merupakan sebahagian daripada pelan jangka panjang KOPEKS untuk mengurangkan kebergantungan terhadap model perniagaan tradisional dan mewujudkan sumber pendapatan yang lebih mampan.

Selain pusat dialisis, KOPEKS turut mengendalikan tiga klinik kesihatan di Sembulan, Sepanggar dan Kota Belud yang mula beroperasi sejak tahun lalu.

Beliau berkata, walaupun masih baharu, ketiga-tiga klinik tersebut menunjukkan prestasi memberangsangkan dan telah mula menjana keuntungan yang baik kepada koperasi.

Dalam perkembangan lain, KOPEKS turut merancang membuka cawangan baharu Ar-Rahnu di Tawau pada September depan menerusi kerjasama bersama Rakyat Management Services (RMS), selain sedang melengkapkan dokumentasi bagi pembangunan projek kondominium di Menggatal.

Pada majlis sama, KOPEKS turut menandatangani beberapa kerjasama strategik termasuk dengan ANGKASA, RMS serta koperasi-koperasi dari Negara Brunei Darussalam melalui Dewan Perniagaan dan Perusahaan Melayu Brunei Berhad.

Sementara itu, KOPEKS menerima kelulusan dana modal pusingan berjumlah RM30 juta daripada Bank Rakyat yang akan digunakan untuk memperkukuh operasi kredit dan Ar-Rahnu koperasi berkenaan.

Menurut Saat, sempena ulang tahun ke-63 penubuhannya tahun ini, KOPEKS juga akan melancarkan platform media komuniti dikenali sebagai Kinabalu Media yang akan diterbitkan secara dalam talian dan cetakan bagi menyampaikan maklumat sahih serta mendekatkan isu komuniti dengan rakyat.

“Semua perniagaan yang diterokai KOPEKS hari ini menjurus kepada usaha meningkatkan pendapatan koperasi dan memperluaskan manfaat kepada anggota serta masyarakat.

“Kami berharap usaha ini akan terus mendapat sokongan daripada kerajaan, agensi berkaitan dan rakan strategik demi memastikan KOPEKS terus berkembang dan memberi impak positif kepada rakyat Sabah,” katanya.