Zainudin Dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Baharu Mulai 29 Jun

Zainudin Dilantik Setiausaha Kerajaan Negeri Baharu Mulai 29 Jun

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah mempersetujui pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) yang baharu, berkuat kuasa mulai 29 Jun 2026.

Zainudin, yang kini menjawat jawatan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan menggantikan Datuk Seri Sr Safar Untong yang akan menamatkan perkhidmatannya pada 28 Jun 2026.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, dengan pelantikan itu, Perkhidmatan Awam Negeri Sabah diharapkan akan terus maju dan berdaya saing dalam melaksanakan transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.

Menurut beliau, langkah itu juga penting bagi memastikan dasar-dasar kerajaan dapat dilaksanakan dengan baik demi kemakmuran rakyat dan pembangunan negeri.

Pada masa sama, Hajiji merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Datuk Seri Sr Safar atas khidmat bakti beliau yang cemerlang, penuh dedikasi, berhemah serta berintegriti sepanjang memegang jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri sejak tahun 2019.

Beliau turut memaklumkan bahawa Datuk Seri Sr Safar telah dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa mulai 1 Jun 2026.