KOTA KINABALU: Inisiatif anyaman buluh Salingkawang oleh Emily Jeneble kini terbukti sebagai model penjanaan pendapatan luar bandar yang stabil di Sabah, dengan peserta memperoleh RM1,700 hingga RM3,000 sebulan.
Berpangkalan di Kampung Bau Lunguyan, Sook, program ini melibatkan wanita, ibu tunggal dan penduduk menganggur melalui latihan dan pengeluaran berasaskan komuniti.
Koperasi Kraft Batu Lunguyan kini mempunyai 55 ahli dengan tiga lokasi operasi termasuk studio reka bentuk dan pusat latihan, melibatkan kira-kira 10 pekerja aktif.
Emily berkata model tersebut bukan lagi percubaan, sebaliknya sistem yang sudah berfungsi dan memberi pendapatan tetap kepada komuniti.
Beliau menggesa sokongan lebih besar daripada kerajaan dan NGO untuk memperluas infrastruktur, logistik dan akses pasaran bagi membolehkan lebih banyak kampung mengikut model sama.
Produk Salingkawang kini dipasarkan di dalam dan luar negara termasuk Eropah dan Asia, dengan permintaan yang semakin meningkat melalui pameran dan tempahan baharu.






