TAMPARULI: Lebih 40 penduduk Kampung Molisau, Tenghilan memanfaatkan masa lapang mereka dengan menyertai program English For Employability yang berlangsung selama lima minggu di Dewan Kampung Molisau, baru-baru ini.
Program anjuran JKKK Kampung Molisau dengan kerjasama Kementerian Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah (KPSTI) serta AMC University College itu bertujuan meningkatkan kemahiran Bahasa Inggeris dalam kalangan masyarakat setempat.
Tenaga pengajar, Caroline Duliat berkata, sambutan yang diterima menunjukkan masyarakat semakin menyedari kepentingan Bahasa Inggeris dalam pendidikan, pekerjaan dan komunikasi harian.
“Bahasa Inggeris bukan sahaja membantu mendapatkan pekerjaan yang lebih baik, malah meningkatkan keyakinan diri untuk berkomunikasi,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi JKKK Kampung Molisau, Elexter Duari berkata, program seumpama itu memberi manfaat besar terutama kepada golongan muda dengan mengisi masa lapang melalui aktiviti pembelajaran yang berfaedah.
“Daripada anak-anak kita menghabiskan terlalu banyak masa bermain telefon atau permainan video, lebih baik mereka mengikuti program seperti ini yang dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan kemahiran mereka,” katanya.
Peserta, Nancy Julian, 53, mengakui kelas tersebut membantu meningkatkan keyakinannya untuk bertutur dalam Bahasa Inggeris, manakala Sadiona Rudy, 15, menyertai program itu kerana minat mendalam terhadap bahasa tersebut.
“Sebelum ini saya takut untuk bercakap dalam Bahasa Inggeris kerana bimbang tersalah sebut. Namun selepas mengikuti kelas ini, saya semakin yakin untuk mencuba dan berkomunikasi,” kata Nancy.
Program berkenaan turut disertai pelajar sekolah, belia dan golongan dewasa, sekali gus membuktikan bahawa pembelajaran tidak mengenal usia dan mampu membantu masyarakat meningkatkan pengetahuan serta peluang masa depan.






