KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor menyampaikan watikah pelantikan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri yang baharu, Datuk Zainudin Aman, hari ini.
Bekas Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri itu akan secara rasmi mengambil alih tugas daripada Datuk Seri Sr Safar Untong pada 29 Jun.
Ketua Menteri berkata, beliau berharap pelantikan Zainudin akan memastikan perkhidmatan awam negeri terus progresif dan berdaya saing dalam memacu transformasi pentadbiran negeri ke arah kemajuan serta kecemerlangan yang berterusan.
“Ini juga akan memastikan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan demi kemakmuran rakyat dan negeri,” katanya.
Safar, yang bersara pada 28 Jun, telah dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd, sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) milik Kerajaan Negeri Sabah.
Sementara itu, Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Norlijah Danin akan menggantikan Zainudin sebagai Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah.






