TANGERANG SELATAN – Kumpulan K-pop NCT 127 terpaksa menamatkan konsert pertama mereka di Indonesia lebih awal selepas 30 peminat pengsan dalam rempuhan.
Indonesia masih dibayangi insiden hitam selepas 130 orang, termasuk lebih 40 kanak-kanak, maut dalam rempuhan stadium bulan lalu.
Jurucakap polis, Endra Zulpan yang dipetik Berita Harian berkata, konsert berhampiran ibu kota Jakarta itu berlangsung selama kira-kira dua jam apabila peminat mula bergerak ke hadapan untuk menghampiri pentas.
“Akibatnya, 30 orang pengsan. Oleh itu, bagi mengelakkan kejadian lain, kami memutuskan untuk menghentikan konsert pada 9.20 malam (waktu tempatan),” katanya.
Sementara itu, seorang saksi, Syifa Aulia, 19, berkata sebelum rempuhan, kumpulan iti sedang memberikan hadiah percuma kepada peminat.
Katanya, peminat di belakang bertindak menolak ke arah pentas sehingga pagar penghadang runtuh.
“Kami kecewa dengan peminat-peminat itu kerana sudah diberi amaran untuk tidak menolak antara satu sama lain oleh ahli NCT 127 sendiri, namun mereka sangat mementingkan diri…
“Hanya untuk rakaman, mereka mengabaikan keselamatan orang lain,” katanya.
BH melaporkan bahaw pihak Polis bagaimanapun telah membenarkan konsert NCT 127 pada hari kedua berlangsung pada Sabtu, namun melarang pengedaran barangan kepada peminat dan memerlukan langkah lebih ketat untuk memisahkan peminat.
“Untuk menebus kesalahan itu dan memberikan pengalaman terbaik, kami akan menambah lebih ramai paramedik dan anggota keselamatan untuk pertunjukan hari kedua,” kata penganjur konsert Dyandra Global Edutainment di Instagram.
Peminat Miftahul Janna, 18, berkata peminat ‘benar-benar meminta maaf’ kepada kumpulan itu.
“Kami minta maaf kerana kami membuatkan anda bimbang dalam konsert pertama di Indonesia. Daripada kejadian ini, kami berharap kami dapat mematuhi peraturan keselamatan dengan lebih baik dan mengambil berat mengenai orang lain,” katanya.
Hujung minggu lalu, polis membatalkan festival muzik Berdendang Bergoyang hari ketiga di Jakarta selepas hampir 30 orang pengsan akibat lebihan kapasiti.





