KERAJAAN MANSUHKAN KAWALAN PENJUALAN DIESEL DI SABAH, SARAWAK DAN LABUAN MULAI HARI...

KERAJAAN MANSUHKAN KAWALAN PENJUALAN DIESEL DI SABAH, SARAWAK DAN LABUAN MULAI HARI INI

0
SHARE

KUALA LUMPUR – Kerajaan mengumumkan pemansuhan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan berkuat kuasa hari ini.

Keputusan itu sekali gus membatalkan arahan kawalan yang sebelum ini mengehadkan pembelian diesel kepada 50 liter, 100 liter dan 150 liter mengikut kategori kenderaan di ketiga-tiga wilayah berkenaan.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan, pemansuhan tersebut dibuat susulan pelaksanaan penyeragaman harga diesel bersubsidi di bawah Program BUDI Diesel pada kadar RM2.10 seliter, selain pengenalan mekanisme pembelian diesel menggunakan MyKad di stesen minyak yang turut bermula hari ini.

Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, semua pemegang lesen barang kawalan berjadual runcit yang menjual petrol dan diesel di Sabah, Sarawak dan Labuan diminta mengambil maklum bahawa arahan kawalan penjualan diesel ke atas kenderaan pengangkutan darat yang berkuat kuasa sebelum ini telah dibatalkan.

Beliau berkata, mekanisme baharu itu dijangka dapat memastikan pengagihan diesel bersubsidi dilaksanakan secara lebih cekap dan bersasar, di samping memudahkan urusan pengguna yang layak mendapatkan bekalan bahan api.

Pemansuhan kawalan itu dijangka memberi kelegaan kepada pengguna serta pengusaha sektor pengangkutan dan perniagaan di Sabah, Sarawak dan Labuan yang sebelum ini berdepan had pembelian diesel ketika menjalankan aktiviti harian.