12 Rumah Musnah Dijilat Api Dalam Kebakaran di Kg Kalansanan

12 Rumah Musnah Dijilat Api Dalam Kebakaran di Kg Kalansanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Sebanyak 12 rumah jenis tidak kekal musnah dalam satu tragedi kebakaran yang melanda Kampung Kalansanan, Inanam, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, PKPgB Noor Sherriyana Bohari berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 9.20 malam.

Menurutnya, pasukan pertama dari BBP Lintas tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian selepas menempuh perjalanan sejauh lima kilometer dari balai.

Sebaik tiba di lokasi, kebakaran didapati melibatkan 12 buah rumah jenis tidak kekal dengan keluasan keseluruhan kira-kira 277.34 meter persegi.

“Sebanyak 11 buah rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi rumah mengalami kemusnahan kira-kira 50 peratus. Bagaimanapun, tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran sepanjang 300 kaki dengan enam pancutan air yang diperoleh daripada tangki jentera, lori tangki air serta sumber terbuka iaitu sungai berhampiran.

Katanya, kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada jam 10.48 malam sebelum operasi ditamatkan pada jam 1.27 pagi selepas pasukan bomba memastikan tiada lagi risiko bahaya di lokasi kejadian.

Operasi itu melibatkan seramai 37 anggota daripada BBP Lintas, BBP Kota Kinabalu dan BBP Penampang dengan bantuan tujuh jentera termasuk tiga Fire Rescue Tender (FRT), dua Emergency Medical Rescue Services (EMRS), sebuah Water Tanker serta beberapa kenderaan operasi.

Turut membantu di lokasi ialah anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM), RELA dan Sabah Electricity Sdn Bhd (SE).

Punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.