Sabah Milik Rakyat Sabah, Jangan Biar Pihak Luar Tentukan Haluan Negeri Kita...

Sabah Milik Rakyat Sabah, Jangan Biar Pihak Luar Tentukan Haluan Negeri Kita – Syahfarahain

0
SHARE

KOTA KINABALU: Hak rakyat Sabah untuk menentukan masa depan serta hala tuju politik negeri ini tanpa campur tangan mana-mana pihak luar perlu terus dipertahankan, tegas wakil Persatuan Pemangkin Komuniti Sabah (PKOMS), Siti Syahfarahain Mohammad Syahrul.

Beliau berkata, Sabah mempunyai sejarah, identiti dan maruahnya sendiri, justeru sebarang keputusan berkaitan kepimpinan serta masa depan negeri hendaklah ditentukan sepenuhnya oleh rakyat Sabah.

“Sabah ialah tanah air kita. Sabah mempunyai sejarahnya sendiri, identitinya sendiri dan maruahnya sendiri.

“Kita menghormati semua rakyat Malaysia dan menghargai persahabatan dengan semua negeri. Namun apabila bercakap tentang politik Sabah, biarlah rakyat Sabah sendiri yang menentukan masa depan Sabah.

“Kita tidak memerlukan campur tangan mana-mana pihak luar untuk menentukan siapa yang patut kita sokong atau siapa yang patut kita tolak kerana tiada siapa yang lebih memahami denyut nadi rakyat Sabah selain rakyat Sabah sendiri. Suara Sabah mesti datang daripada rakyat Sabah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Aman Bangkit Sabahan 2.0 yang berlangsung di Kota Kinabalu pada Ahad.

Dalam pada itu, Syahfarahain turut menegaskan bahawa perjuangan membanteras rasuah perlu dilaksanakan secara menyeluruh tanpa memilih pihak tertentu.

“Jika kita benar-benar menolak rasuah, maka kita mesti menolak rasuah tanpa memilih siapa pelakunya. Rasuah memerlukan dua tangan, satu yang menerima dan satu lagi yang memberi.

“Maka jika kita mengutuk orang yang menerima rasuah, kita juga mesti berani mengutuk orang yang memberi rasuah. Rasuah tetap rasuah, tidak kira siapa yang menerima dan tidak kira siapa yang memberi,” katanya.

Beliau berkata, keadilan juga tidak boleh dilaksanakan secara terpilih kerana undang-undang perlu ditegakkan secara sama rata terhadap semua pihak.

“Jika kita mahu tindakan diambil terhadap penerima rasuah, maka tindakan yang sama juga mesti diambil terhadap pemberi rasuah. Undang-undang tidak boleh mempunyai dua standard. Apabila undang-undang mula memilih bulu, maka keadilan telah gagal,” katanya.

Menurutnya, masyarakat juga perlu memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan tanpa dipengaruhi persepsi yang dibentuk menerusi media sosial.

“Kita berhak menuntut siasatan yang telus dan mendesak semua yang terlibat disiasat. Namun kita tidak berhak menjatuhkan hukuman hanya berdasarkan persepsi.

“Keadilan mestilah berasaskan bukti, bukan emosi, sentimen atau tekanan orang ramai,” katanya.

Mengakhiri ucapannya, Syahfarahain menyeru seluruh rakyat Sabah agar terus bersatu mempertahankan hak negeri, menolak rasuah tanpa memilih bulu serta memastikan setiap tindakan diambil mengikut lunas undang-undang.

“Sabah tidak kekurangan hasil dan potensi. Apa yang diperlukan ialah kepimpinan yang berintegriti, sistem yang adil serta rakyat yang berani mempertahankan kebenaran. Selagi kita bersatu mempertahankan prinsip-prinsip ini, insya-Allah Sabah akan bangkit menjadi negeri yang lebih bermaruah, makmur dan dihormati,” tegasnya.