KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat pada Selasa telah meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Persaingan (Pindaan) 2026 dan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Persaingan (Pindaan) 2026.
Kedua-dua RUU ini bertujuan memperkukuh kuasa penguatkuasaan serta penyiasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) dalam membanteras amalan antipersaingan, termasuk aktiviti kartel, demi melindungi pengguna dan membantu menangani isu kos sara hidup.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, kelulusan kedua-dua pindaan itu merupakan agenda reformasi perundangan utama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bagi memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil, mampan dan berintegriti.
“KPDN akan terus komited memperkukuh agenda reformasi pasaran demi memastikan ekosistem perdagangan domestik kekal adil dan berintegriti.
“Pindaan akta ini diharapkan akan bertindak sebagai instrumen perundangan yang ampuh dalam memelihara kesejahteraan rakyat serta memacu kemampanan ekonomi negara secara menyeluruh,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Menurut beliau, pindaan terhadap Akta Persaingan 2010 (Akta 712) melibatkan 34 pindaan, termasuk penambahbaikan kepada 29 seksyen sedia ada serta pengenalan lima seksyen baharu yang memberi penekanan kepada pemerkasaan kuasa penguatkuasaan dan penyiasatan MyCC.
Katanya, antara penambahbaikan utama ialah memperkemaskan definisi persatuan perusahaan bagi mengelakkan penyalahgunaan platform tersebut untuk mewujudkan pakatan kartel atau memanipulasi pasaran.
Selain itu, seksyen baharu turut memperuntukkan tindakan jenayah terhadap perusahaan yang gagal memberi kerjasama dalam penyaluran maklumat kepada MyCC bagi tujuan kajian pasaran, selain membolehkan Suruhanjaya memfailkan rayuan ke Mahkamah Tinggi terhadap keputusan tertentu Tribunal Rayuan Persaingan.
Armizan berkata, pindaan terhadap Akta Suruhanjaya Persaingan Malaysia 2010 (Akta 713) pula melibatkan penambahbaikan kepada sembilan seksyen sedia ada serta pengenalan satu seksyen baharu bagi memperjelaskan kuasa Suruhanjaya, termasuk kuasa perwakilan untuk melaksanakan fungsi tertentu dengan lebih berkesan.
Beliau berkata, langkah tersebut akan meningkatkan keupayaan MyCC dalam menguatkuasakan undang-undang persaingan secara lebih efektif dan responsif terhadap cabaran semasa pasaran.
Kedua-dua rang undang-undang itu dijadualkan dibentangkan di Dewan Negara pada persidangan yang berlangsung antara 20 Julai hingga 4 Ogos depan sebelum dikuatkuasakan.






