Tiga Lagi Didenda Sehingga RM194,000 Curi, Jual Elektrik Haram di Sandakan

Tiga Lagi Didenda Sehingga RM194,000 Curi, Jual Elektrik Haram di Sandakan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS) mendakwa tiga lagi individu atas pelbagai kesalahan berkaitan kegiatan mencuri dan menjual bekalan elektrik secara haram di penempatan setinggan di Sandakan, susulan Operasi Bersepadu yang dilaksanakan pada 1 hingga 3 Julai lalu.

Dalam operasi berkenaan, Mahkamah menjatuhkan denda keseluruhan RM129,000 terhadap Sumailah Cuba, pemegang pasport Indonesia, selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 8(1)(b), Seksyen 61(1), Seksyen 61(3) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024.

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh boleh dipenjara mengikut tempoh yang ditetapkan mahkamah.

Seorang lagi bukan warganegara, Zaini Mubin yang merupakan pemegang dokumen IMM13, turut didenda keseluruhan RM194,000 atas kesalahan di bawah peruntukan enakmen yang sama. Tertuduh juga berdepan hukuman penjara sekiranya gagal melunaskan denda berkenaan.

Sementara itu, Ahmad Safuan Baharuddin, seorang warganegara Malaysia, didenda RM8,000 selepas didapati bersalah di bawah Seksyen 61(3)(a) dan Seksyen 61(8) Enakmen Bekalan Elektrik 2024. Tertuduh telah menjelaskan denda yang dikenakan.

Mahkamah turut mengarahkan kedua-dua pesalah bukan warganegara diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia bagi tujuan pembatalan pasport dan dokumen IMM13 sebelum proses pengusiran dilaksanakan selepas menjalani hukuman.

ECoS dalam kenyataannya memaklumkan tindakan penguatkuasaan terhadap kegiatan mencuri dan mengagihkan bekalan elektrik secara haram akan diteruskan.

Sebanyak 36 lagi kes yang dikesan menerusi Operasi Bersepadu sama kini sedang dalam proses pendakwaan.