KUDAT: Ketua Parti STAR Bahagian Kudat, Dato’ Shawn Davey Lee, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai ketua bahagian dan Penyelaras STAR Parlimen Kudat berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas mempertimbangkan faktor kesihatan susulan komitmen tugas yang padat sepanjang lima tahun berkhidmat.
“Keputusan ini bukan mudah. Namun, saya merasakan sudah tiba masanya untuk memberi keutamaan kepada kesihatan dan menjalani proses pemulihan agar kembali berada pada tahap terbaik,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, beliau telah berusaha mendekati rakyat, mendengar keluhan serta membawa pelbagai isu demi pembangunan Kudat.
Walaupun meletakkan jawatan, beliau menegaskan akan terus berbakti kepada masyarakat setempat, khususnya dalam bidang pertanian, pelancongan, ekonomi, kebajikan dan pembangunan.
“Saya akan terus bersama masyarakat Kudat dan memperjuangkan isu-isu yang memberi kesan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menyatakan kesediaan untuk memikul tanggungjawab sekiranya diberi kepercayaan oleh rakyat pada masa hadapan.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyokong dan bekerjasama sepanjang tempoh perkhidmatannya.






