Lelaki Ditemui Rentung Dalam Kebakaran Rumah di Sandakan

Lelaki Ditemui Rentung Dalam Kebakaran Rumah di Sandakan

0
SHARE

SANDAKAN: Seorang lelaki berusia 30 tahun ditemukan rentung selepas sebuah rumah dan sebuah kedai musnah dalam kebakaran di Jambatan 3, Batu 7, Kampung Batu Putih pada awal pagi Ahad lalu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, PKPgB Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 4.56 pagi sebelum mengejarkan sepasukan 12 anggota ke lokasi kejadian.

Pasukan anggota bersama jentera bomba dilaporkan tiba di lokasi pada jam 5.05 pagi dengan jarak kira-kira 9 kilometer dari balai.

“Sebaik tiba, komander operasi mengesahkan kebakaran melibatkan sebuah rumah jenis tidak kekal berkeluasan 60 x 40 kaki persegi serta sebuah kedai berkeluasan 15 x 40 kaki persegi yang kedua-duanya musnah terbakar sepenuhnya.

“Operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran sepanjang 500 kaki dengan dua pancutan menggunakan sumber air daripada jentera bomba dan sumber air terbuka. Kebakaran berjaya dikawal pada jam 5.24 pagi,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Beliau berkata, seorang mangsa lelaki berusia 30 tahun ditemukan rentung pada jam 6 pagi sebelum mayatnya diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan lanjut.

Operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 8.30 pagi selepas anggota bomba memastikan tiada lagi bahaya lain di lokasi kejadian.