Visualiser Rasmi “Pegang Tangan” Dilancar Esok, Lengkapi Kolaborasi Altimet dan Adam Nuqris

Visualiser Rasmi “Pegang Tangan” Dilancar Esok, Lengkapi Kolaborasi Altimet dan Adam Nuqris

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Lagu “Pegang Tangan” nyanyian Altimet bersama penyanyi baharu, Adam Nuqris, bakal tampil dengan visualiser rasmi pada 14 Julai ini, sekali gus melengkapkan karya yang menandakan kemunculan semula figura hip hop itu dalam dunia muzik.

Diterbitkan di bawah Altimet Holdings Sdn. Bhd. dan diuruskan SVLTAN Management, lagu berkenaan merupakan karya daripada arkib penulisan peribadi Altimet yang diberi nafas baharu menerusi kolaborasi bersama Adam Nuqris.

Lebih mencuri perhatian, kewujudan lagu itu mula menjadi bualan selepas ia didedahkan secara tidak sengaja dalam temu bual Adam Nuqris bersama sebuah stesen radio pada 8 Mei lalu, sebelum pengumuman rasmi dibuat.

“Pegang Tangan” mengangkat tema kasih sayang antara ibu dan anak, memaparkan perjalanan kehidupan daripada zaman kanak-kanak sehingga dewasa, termasuk perubahan peranan apabila anak pula menjadi tempat bergantung ketika ibu bapa berdepan cabaran usia dan kesihatan.

Altimet berkata, karya itu lahir secara spontan daripada pengalaman dan emosi sebenar, bukannya sebagai projek kemunculan semula yang dirancang.

“Lagu ini datang dalam keadaan yang sangat organik. Ia bukan tentang kembali semula secara besar-besaran, tetapi lebih kepada satu karya yang jujur, lahir daripada momen dan perasaan sebenar. Kadang-kadang lagu yang paling ringkas itulah yang paling dekat di hati,” katanya.

Lagu berkonsep hip hop mellow itu ditulis oleh Altimet, digubah oleh Mas Dewangga dan menampilkan susunan muzik minimalis yang memberi penekanan kepada kekuatan lirik serta penyampaian vokal.

Adam Nuqris pula menyifatkan peluang bekerjasama dengan Altimet sebagai satu penghormatan besar dalam perjalanan awal kerjayanya.

“Bagi saya, ini bukan sekadar kolaborasi. Ia adalah ruang untuk belajar dan memahami bagaimana sebuah lagu boleh membawa makna yang sangat dalam walaupun disampaikan secara sederhana. Saya bersyukur diberi kepercayaan untuk menjadi sebahagian daripada karya istimewa ini,” katanya.

Menurut pihak pengurusan, pelancaran visualiser rasmi dijangka memperkukuhkan naratif dan emosi yang dibawa menerusi lagu tersebut dengan memberikan dimensi visual kepada karya yang telah dilancarkan sejak 8 Mei lalu.

Visualiser rasmi “Pegang Tangan” akan ditayangkan pada 14 Julai ini, bermula jam 12 tengah hari menerusi saluran YouTube rasmi Altimet, manakala lagu berkenaan kini boleh distrim di semua platform digital utama.