Subsidi Diesel Bersasar Wajar Diteruskan, Tapi Pelaksanaan Perlu Ambil Kira Realiti Sabah...

Subsidi Diesel Bersasar Wajar Diteruskan, Tapi Pelaksanaan Perlu Ambil Kira Realiti Sabah – Bonaventure

0
SHARE

KOTA KINABALU: Pelaksanaan subsidi diesel secara bersasar di Sabah perlu diteruskan sebagai usaha mengurangkan ketirisan subsidi dan memperkukuh kedudukan fiskal negara, namun mekanismenya mesti mengambil kira realiti sosioekonomi, geografi serta keadaan infrastruktur negeri agar tidak membebankan rakyat.

Penolong Penerangan Parti Bersatu Sabah (PBS), Dr. Bonaventure Boniface berkata, dasar itu mampu memastikan bantuan disalurkan kepada golongan yang benar-benar layak seperti nelayan, pekebun kecil, pengusaha pengangkutan awam dan perusahaan kecil serta sederhana (PKS), selain membolehkan penjimatan kerajaan digunakan bagi sektor pendidikan, kesihatan dan pembangunan.

Bagaimanapun, Sabah tidak boleh disamakan dengan Semenanjung kerana negeri ini berdepan kos sara hidup yang tinggi, kawasan geografi yang luas, taburan penduduk yang berselerak serta kos logistik yang lebih tinggi.

Diesel di Sabah bukan sekadar digunakan oleh pemilik kenderaan, malah menjadi sumber utama operasi bot nelayan, jentera pertanian, lori pengangkutan dan pelbagai aktiviti ekonomi, khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Menurut Ketua Bahagian Parti Bersatu Sabah (PBS) N14 Tamparuli itu, masih banyak kawasan yang bergantung kepada kenderaan pacuan empat roda (4WD) berkuasa diesel berikutan keadaan jalan raya yang belum memuaskan, menyebabkan penggunaannya menjadi satu keperluan harian, bukannya pilihan.

Dr. Bonaventure turut mengingatkan supaya pelaksanaan subsidi bersasar tidak bergantung sepenuhnya kepada sistem digital kerana capaian internet di sebahagian kawasan pedalaman masih terhad, selain menggesa proses permohonan dipermudah bagi mengelakkan golongan layak tercicir.

Sehubungan itu, beliau mencadangkan kerajaan menyediakan mekanisme subsidi yang lebih mudah, telus dan inklusif, termasuk pilihan permohonan bukan digital, selain mempertimbangkan kadar subsidi atau had kuantiti diesel yang lebih sesuai untuk Sabah dan Sarawak mengikut keperluan sebenar.

Beliau turut mencadangkan bantuan tunai sementara sepanjang tempoh peralihan serta penglibatan aktif kerajaan negeri dan wakil rakyat dalam merangka mekanisme pelaksanaan dasar.

“Subsidi diesel secara bersasar merupakan dasar yang wajar diteruskan, namun kejayaannya bergantung kepada pelaksanaan yang adil dan mengambil kira keperluan sebenar rakyat Sabah tanpa menjejaskan matlamat memperkukuh kedudukan fiskal negara,” katanya.