Pertahan Hak Sabah, Sarawak Adalah Asas Kelangsungan Penubuhan Malaysia – Madius

Pertahan Hak Sabah, Sarawak Adalah Asas Kelangsungan Penubuhan Malaysia – Madius

0
SHARE

KUALA LUMPUR: Mempertahankan hak Sabah dan Sarawak adalah langkah penting dalam memastikan kelangsungan asas penubuhan Persekutuan Malaysia, kata Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Kumpulan Wang Amanah Negara 2026 di Dewan Rakyat, pada Khamis.

Beliau berkata, sokongan terhadap RUU itu diberikan secara bersyarat dengan syarat hak-hak kewangan Sabah dan Sarawak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) terus dipelihara dan tidak terjejas dalam pelaksanaannya.

Hak-hak kewangan Sabah dan Sarawak yang dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan serta MA63 bukanlah ihsan mahupun hadiah daripada mana-mana pemimpin, tetapi ia lahir daripada undang-undang tertinggi negara.

“Apabila kita mempertahankan Perlembagaan, kita sebenarnya mempertahankan Malaysia. Apabila kita mempertahankan hak Sabah dan Sarawak, kita sebenarnya mempertahankan asas penubuhan Persekutuan Malaysia,” katanya.

Madius berkata, sebahagian besar dana amanah negara dibentuk daripada hasil petroleum dan gas asli yang disumbangkan oleh Sabah dan Sarawak, justeru kedua-dua negeri itu berhak mendapat jaminan bahawa hak perlembagaan mereka sentiasa dihormati.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan penyertaan sekurang-kurangnya seorang wakil dari Sabah dan seorang wakil dari Sarawak dalam Lembaga Kumpulan Wang Amanah Negara bagi memastikan kepentingan kedua-dua wilayah diwakili dalam proses membuat keputusan.

Menurutnya, cadangan itu bukan bermotifkan politik kepartian, sebaliknya bertujuan memperkukuh prinsip federalisme yang adil serta mengiktiraf sumbangan besar negeri-negeri pengeluar sumber asli kepada kewangan negara.

“Pemeliharaan hak negeri dalam akta tersebut mestilah dipandu oleh mekanisme semak dan imbang yang utuh, dan bukan sekadar meletakkan kuasa atau harapan kepada budi bicara mutlak seorang menteri,” katanya.

Beliau berkata, iltizam kerajaan dalam memelihara hak Sabah dan Sarawak menerusi akta tersebut akan menentukan sama ada kekayaan Persekutuan dapat diwariskan kepada generasi akan datang dengan penuh integriti, keadilan dan selaras dengan semangat asal pembentukan Malaysia.