Pelajar Diingatkan Jangan Terlalu Bergantung kepada AI Dalam Proses Pembelajaran

Pelajar Diingatkan Jangan Terlalu Bergantung kepada AI Dalam Proses Pembelajaran

0
SHARE

TAMBUNAN: Pelajar diingatkan supaya tidak terlalu bergantung kepada kecerdasan buatan (AI) dalam proses pembelajaran kerana amalan itu dikhuatiri boleh menjejaskan keupayaan berfikir secara kritikal, khususnya dalam penguasaan mata pelajaran seperti Matematik.

Timbalan Pengerusi Sawit Kinabalu dan Borneo Samudera, Dato’ Victor P. Paut berkata, AI seharusnya dimanfaatkan sebagai alat sokongan pembelajaran dan bukannya menggantikan usaha pelajar untuk memahami konsep serta membina asas pengetahuan.

Beliau berkata, penguasaan numerasi dan kemahiran berfikir perlu diperkukuhkan terlebih dahulu supaya pelajar mampu menilai kesahihan sesuatu maklumat serta membuat pertimbangan yang rasional.

AI mungkin mampu memberikan jawapan dengan pantas, tetapi seseorang tetap perlu mempunyai keupayaan berfikir untuk menentukan sama ada jawapan itu munasabah dan boleh dipercayai atau sebaliknya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tambunan, di sini, baru-baru ini.

Victor yang juga Ketua Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) Bahagian Tambunan berkata, cabaran pendidikan hari ini bukan berpunca daripada kekurangan kebijaksanaan pelajar, sebaliknya perubahan gaya hidup yang semakin mengurangkan penggunaan kemahiran numerasi dalam kehidupan harian.

Menurutnya, keadaan itu bukan sahaja memberi kesan kepada pencapaian akademik, malah turut menjejaskan kebolehan pelajar menganalisis maklumat dan membuat keputusan secara matang.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pembangunan kemahiran numerasi dan pemikiran kritikal memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk ibu bapa dan komuniti, selain peranan sekolah.

Victor menyerahkan replika sumbangan sebanyak RM30,727 termasuk 7 buah Google TV 65 inci kepada Pengetua SMK Tambunan, Puan Noraini Aini binti A. Talib…

Pada majlis sama, Victor turut mengumumkan sumbangan peribadi sebanyak RM30,000 yang merangkumi insentif kepada pelajar cemerlang STPM serta tujuh unit televisyen pintar Google untuk kegunaan pembelajaran pelajar Tingkatan Enam SMK Tambunan.

Beliau berkata, SMK Tambunan merupakan satu-satunya sekolah di daerah itu yang menawarkan pendidikan Tingkatan Enam dan berharap kemudahan tersebut dapat meningkatkan mutu pengajaran serta pembelajaran.

Katanya, jika perancangan berjalan lancar, sumbangan televisyen pintar itu akan diperluaskan kepada pelajar Tingkatan Lima pada tahun depan.

Dalam masa sama, beliau menyeru lebih banyak syarikat korporat dan individu yang berjaya agar menyumbang semula kepada sekolah serta daerah asal masing-masing bagi memperkukuh pembangunan pendidikan generasi muda.