KOTA KINABALU: Kesibukan mengurus keluarga, kerjaya dan masyarakat bukan halangan bagi wanita untuk terus mendalami ilmu Al-Quran serta menghayati ajaran Islam.
Pengerusi Perkumpulan Perempuan Sabah (PPS), Datuk Seri Azizah Mohd Dun berkata, wanita hari ini membuktikan kemampuan mengimbangi pelbagai tanggungjawab sambil meluangkan masa mengikuti pengajian Al-Quran dan menyertai pertandingan tilawah.
“Usaha ini membuktikan wanita bukan sahaja berjaya dalam pelbagai bidang, malah terus memperkukuh hubungan dengan Allah SWT melalui pembacaan, penghayatan dan pengamalan Al-Quran dalam kehidupan seharian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Pertandingan Tilawah Al-Quran PPS anjuran Biro Agama PPS di sini.
Pertandingan berkenaan disertai 10 peserta terdiri daripada ahli terus PPS dan wakil cawangan seluruh Sabah.
Azizah berkata, program itu bukan sahaja mencungkil bakat qariah, malah menggalakkan pembacaan Al-Quran secara bertajwid, mengeratkan ukhuwah dalam kalangan ahli serta melahirkan wakil PPS untuk pertandingan peringkat lebih tinggi.
Beliau turut menyeru wanita agar menjadikan Al-Quran sebagai panduan hidup dan terus istiqamah mengikuti pengajian agama walaupun berdepan kesibukan harian.
Katanya, wanita memainkan peranan penting dalam membentuk keluarga dan masyarakat sejahtera melalui penghayatan nilai-nilai Islam.






