KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah disaran mempertimbangkan pembangunan Rumah Sabah Maju Jaya (SMJ) secara bertingkat sebagai antara penyelesaian kepada masalah kekurangan tanah, khususnya di kawasan bandar dan separa bandar yang semakin padat dengan pertambahan penduduk.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.23 Petagas, Datuk Awang Ahmad Sah Awang Sahari berkata, pendekatan itu wajar dipertimbangkan bagi membolehkan lebih ramai rakyat, khususnya golongan berpendapatan rendah, menikmati kemudahan perumahan tanpa bergantung sepenuhnya kepada pembinaan rumah individu yang memerlukan kawasan tanah lebih luas.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Hari Kedua Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Sabah Yang Ketujuh Belas, di Dewan Undangan Negeri Sabah, pada Selasa.
Menurut beliau, kawasan seperti Petagas, Tanjung Aru dan Pantai Manis berdepan kekangan tanah sedangkan jumlah penduduk terus meningkat, sekali gus menyebabkan sebahagian pemohon Rumah SMJ menghadapi kesukaran kerana tidak mempunyai tanah sendiri untuk membina kediaman.
Katanya, terdapat penduduk yang layak dan memerlukan Rumah SMJ, namun pelaksanaannya berdepan masalah ketiadaan tapak sesuai.
Justeru, beliau berpandangan pembangunan Rumah SMJ secara bertingkat boleh menjadi alternatif lebih praktikal kerana satu kawasan tanah mampu menempatkan lebih banyak keluarga berbanding konsep pembinaan sebuah rumah di atas satu lot tanah.
Awang Ahmad Sah yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) Sabah berkata, konsep berkenaan dilihat lebih sesuai dilaksanakan di kawasan yang mempunyai kepadatan penduduk tinggi serta berdepan kekangan tanah.
Beliau mengakui kos membangunkan Rumah SMJ bertingkat mungkin lebih tinggi berbanding pembinaan rumah secara individu, namun kerajaan boleh meneliti mekanisme dan kaedah bersesuaian bagi memastikan kediaman berkenaan kekal mampu dimiliki rakyat.
Menurutnya, perancangan perumahan bertingkat perlu mula diberikan perhatian serius memandangkan golongan berpendapatan rendah semakin berdepan kesukaran mendapatkan tanah atau membeli kediaman sendiri, terutama di kawasan berhampiran bandar.
Cadangan itu dilihat mampu membuka ruang kepada model baharu pelaksanaan Rumah SMJ yang lebih sesuai dengan keadaan dan keperluan semasa, sekali gus memastikan lebih ramai rakyat Sabah dapat menikmati manfaat program perumahan berkenaan meskipun berdepan kekangan tanah.






