KKR Pantau Sendiri Projek Pan Borneo Sabah, Sasar Siap Mengikut Jadual September...

KKR Pantau Sendiri Projek Pan Borneo Sabah, Sasar Siap Mengikut Jadual September Ini

0
SHARE

KOTA KINABALU: Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan akan terus memantau secara rapi pelaksanaan Projek Lebuhraya Pan Borneo Sabah Fasa 1B bagi jajaran Rampayan Laut ke Sarang (WP11) bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut jadual pada 29 September ini.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kemajuan sesebuah projek tidak boleh hanya dinilai menerusi laporan di atas kertas, sebaliknya perlu ditinjau sendiri di lapangan bagi mendapatkan gambaran sebenar mengenai pelaksanaannya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas mengadakan lawatan kerja bersama pengurusan tertinggi KKR ke tapak projek berkenaan baru-baru ini.

Menurutnya, projek bernilai RM167.48 juta itu melibatkan pembinaan jajaran sepanjang 7.3 kilometer dan merupakan antara pakej penting dalam memperkukuh jaringan perhubungan di utara Sabah.

“Sehingga 25 Jun 2026, kemajuan fizikal projek telah mencapai 61.76 peratus.

Meskipun projek masih merekodkan kelewatan 32 hari atau bersamaan -4.35 peratus, kontraktor telah mengemukakan pelan pemulihan bagi memastikan ia dapat disiapkan mengikut tarikh siap kontrak pada 29 September 2026,” katanya.

Nanta berkata, beliau turut mendengar taklimat mengenai kemajuan semasa projek serta cabaran yang dihadapi, khususnya melibatkan pengalihan utiliti oleh Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB), Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) dan Celcom Timur Sabah Sdn Bhd (CTSB), selain isu pengambilan balik tanah.

Beliau menegaskan semua isu berkenaan perlu ditangani secara lebih proaktif dan bersepadu kerana memberi kesan langsung terhadap kelancaran pelaksanaan baki kerja.

“Semua pihak berkepentingan perlu memperkukuh koordinasi supaya kerja-kerja kritikal dapat dipercepatkan.

“KKR bersama Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah, pihak perunding dan kontraktor akan terus memantau pelaksanaan pelan pemulihan secara rapi bagi mengurangkan jurang kelewatan kepada 14 hari menjelang Ogos 2026 sebelum projek ini disiapkan sepenuhnya mengikut jadual,” katanya.

Menurut beliau, manfaat projek itu bukan sekadar menyediakan jalan baharu, malah bakal menawarkan laluan alternatif yang lebih selamat dan efisien, memendekkan perjalanan ke Simpang Mengayau/Kudat sehingga 30 kilometer serta menjimatkan masa perjalanan antara 30 hingga 60 minit.

Katanya, projek itu juga dijangka meningkatkan akses ke Jalur Pelancongan (Tourism Belt) dan Pelan Induk Pelancongan Pantai (Proposed Coastal Tourism Master Plan), sekali gus membuka lebih banyak peluang ekonomi, pelaburan dan pekerjaan kepada masyarakat setempat.

“Komitmen KKR kekal jelas. Kita bukan sahaja mahu memastikan projek ini siap mengikut jadual, malah disiapkan dengan standard kualiti, keselamatan dan integriti yang terbaik demi kesejahteraan rakyat Sabah,” katanya.