Mayat Lelaki Ditemui Mereput, Motosikal Terbabas Dalam Parit di Kota Belud

Mayat Lelaki Ditemui Mereput, Motosikal Terbabas Dalam Parit di Kota Belud

0
SHARE

KOTA BELUD: Mayat seorang lelaki tempatan ditemukan dalam keadaan reput bersama motosikal yang ditungganginya selepas dipercayai terbabas ke dalam parit berisi air di Jalan Kota Belud-Kota Marudu berhampiran Kampung Tambulayang, di sini, Selasa lalu.

Ketua Polis Daerah Kota Belud, Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam kira-kira jam 12.45 tengah hari berhubung penemuan mayat seorang lelaki bersama sebuah motosikal di dalam parit.

Beliau berkata, hasil siasatan di lokasi kejadian mendapati mangsa berusia 41 tahun itu dipercayai dalam perjalanan dari arah Kota Marudu menuju ke Kota Belud sebelum motosikal ditungganginya hilang kawalan.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan motosikal sebelum terbabas ke bahu jalan sebelah kiri dan terjunam ke dalam parit yang berisi air,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

Menurutnya, mangsa ditemukan dalam keadaan melintang bersama motosikal, manakala mayatnya berada dalam keadaan reput dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Katanya, mayat mangsa kemudian dihantar ke Unit Forensik Hospital Kota Belud untuk dibedah siasat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sehubungan itu, Shahrudin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai maklumat berkaitan kemalangan itu supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Belud atau Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Chris Isaac Anak Rechi di talian 088-976600 sambungan 225.

Beliau turut menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa berhati-hati ketika memandu, mematuhi undang-undang jalan raya serta memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik bagi mengelakkan kemalangan.