Laluan Contra-Flow di Jalan Tun Fuad Stephen Dibuka Mulai Isnin, Pengguna Dinasihat...

Laluan Contra-Flow di Jalan Tun Fuad Stephen Dibuka Mulai Isnin, Pengguna Dinasihat Rancang Perjalanan

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah akan melaksanakan laluan contra-flow di kawasan penutupan Jambatan KM2.850, Jalan Tun Fuad Stephen bermula jam 5 pagi, Isnin ini (esok).

Laluan contra-flow ini dibuka bagi memastikan kelancaran aliran trafik sepanjang kerja pemasangan jambatan sementara dijalankan.

JKR Sabah dalam satu notis awam memaklumkan, laluan contra-flow itu membolehkan pergerakan kenderaan dari kedua-dua arah, iaitu dari Bandaraya Kota Kinabalu ke Teluk Likas dan laluan bertentangan menggunakan laluan sedia ada.

“Pelaksanaan laluan contra-flow ini adalah bagi membolehkan kerja pemasangan jambatan sementara di lokasi tersebut disiapkan.

Kenderaan berat melebihi lima tan yang bersaiz lebar dan panjang tidak dibenarkan menggunakan laluan contra-flow ini dan perlu menggunakan jalan alternatif yang lain,” menurut kenyataan itu di sini, hari ini.

JKR turut menasihatkan orang ramai supaya mematuhi semua papan tanda amaran dan papan tanda lalu lintas yang dipasang di kawasan berkenaan serta merancang perjalanan lebih awal bagi mengelakkan sebarang kesulitan sepanjang tempoh pelaksanaan laluan tersebut.

Pelaksanaan laluan contra-flow itu akan berkuat kuasa sehingga kerja pemasangan jambatan sementara di lokasi berkenaan selesai.