KOTA KINABALU, SABAH – Gabungan NGO Bebas Suara (BEBAS) sekali lagi tampil membidas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Shafie Apdal kerana mengumumkan lagi Sabah kononnya bakal menerima pelaburan berjumlah RM7 billion melalui usahasama di antara Yayasan Sabah dengan Syarikat Tegas Bangsa Sdn Bhd bagi projek di Meruntum, Lok Kawi.
Shafie dalam satu kenyataan, kelmarin (03 Jun) selepas menyaksikan majlis menandatangangi tersebut berkata “satu pembangunan komersial campur bernilai RM7 bilion akan dibina di Kampung Meruntum Lok Kawi sekaligus menjadikan ia pelaburan terbesar diterima kerajaan baharu Sabah.


“Pembangunan campur ini terdiri daripada resort, hotel, taman tema serta banyak lagi. Jangka masa pembinaan adalah di antara 12 tahun sehingga 15 tahun.”
Mengulas lanjut mengenai berita tersebut, NGO BEBAS Suara berkata “apa sahaja bentuk pelaburan ke Sabah sudah tentu rakyat amat mengalu-alukannya, tetapi persoalannya ialah di mana pelabur terdahulu yang telah dijanjikan oleh Shafie kononnya akan datang ke Sabah membawa pelaburan berbilion-billion ringgit?”


“Shafie sendiri telah berjanji bahawa seramai 3 ribu anak Sabah akan mendapat manfaat pekerjaan apabila pelabur tersebut datang melabur ke Sabah.”
“Kenyataan pertama mengenai perkara ini dinyatakan sendiri oleh Shafie pada 28 Sept 2018, hampir 2 tahun selepas itu mana pelabur yang dimaksudkan oleh Shafie?, di mana projek yang telah berjaya dibangunkan oleh pelabur tersebut?” Soal NGO BEBAS lagi.
BEBAS Suara berkata lagi “sedarkah Shafie ini adalah jelas satu bukti pembohongan besar kepada seluruh rakyat Sabah.”


“Harus diingat sejak Parti Warisan mentadbir Sabah masalah pengangguran semakin bertambah di Sabah, malah ribuan pekerja khususnya di sektor pelancongan terpaksa diberhentikan kerja selepas pelancong luar negara tidak dibenarkan masuk ke Sabah selepas wabak COVID-19 merebak.”
“Sejak Shafie mengetuai pentadbiran negeri Sabah selama dua (2) tahun yang lalu, tidak ada satu pun projek pembangunan berjaya dibangunkan di Sabah, yang mampu memberikan manfaat langsung dari sudut meningkatkan ekonomi seluruh rakyat Sabah dan ini jelas menunjukkan Shafie terlalu lemah mentadbir negeri Sabah.”
“Sebelum ini perjalanan Shafie termasuk Madius Tangau ke China hanya menghabiskan wang rakyat tapi tidak membawa apa-apa hasil untuk rakyat Sabah.”
“Rakyat mengeluh bantuan makanan dan kewangan COVID-19 yang dijanjikan oleh Shafie juga tidak kunjung tiba, malahan rakyat miskin semakin bertambah miskin di Sabah.”
“Atas alasan inilah kami Gabungan NGO BEBAS Suara akan terus berjuang sehingga misi kami menumbangkan Shafie dan Parti Warisan di Sabah berjaya,” NGO Bebas berkata lagi dalam satu kenyataan.



Untuk rekod gelaran “BAPA PENGUMUMAN” telah diberikan oleh netizen kepada Shafie kerana kerap mengumumkan dan berjanji banyak perkara yang bermanfaat khususnya pelabur akan datang melabur ke Sabah dan bantuan untuk rakyat semasa PKP dikuatkuasakan, tetapi akhirnya Shafie gagal menunaikan janji tersebut.









