KOTA KINABALU: Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 4 Sabah bersama Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) IPD Tuaran merampas lebih 11 tan serbuk ketum bernilai kira-kira RM1.4 juta dalam satu operasi di sebuah premis di Jalan Tuaran, awal pagi Khamis.
Serbuan kira-kira jam 6 pagi itu hasil risikan membawa kepada penemuan 11,450 kilogram serbuk ketum yang telah diproses dan dibungkus untuk edaran, termasuk yang ditemui dalam sebuah lori.
Empat individu, tiga lelaki berusia 23 hingga 46 tahun dan seorang wanita berusia 28 tahun, turut ditahan bagi membantu siasatan. Semua suspek didapati negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952, dengan pihak berkuasa kini mengesan saki-baki rangkaian sindiket terlibat.






