KOTA KINABALU: Penyanyi Indonesia, Sal Priadi dan Raim Laode menjanjikan malam penuh emosi dan kenangan buat peminat di Sabah apabila kedua-duanya berkongsi pentas buat julung kali di negeri ini menerusi konsert Melodi Malam 3.0: Pria Terhebat pada 2 Oktober depan.
Konsert anjuran Sembang Kari Entertainment itu akan berlangsung pada jam 8 malam di Sabah International Convention Centre (SICC), Kota Kinabalu.
Sal Priadi berkata, peluang untuk membuat persembahan di Kota Kinabalu sudah lama dinantikannya, terutama selepas mendengar mengenai sambutan hangat peminat muzik di Sabah.
“Saya sentiasa mendengar betapa hangatnya sambutan peminat muzik di Sabah. Akhirnya peluang itu tiba dan saya sangat teruja untuk bertemu mereka.
“Saya berharap kita dapat menyanyi bersama dan berkongsi malam yang penuh emosi serta kenangan indah,” katanya.
Raim Laode pula menyifatkan kunjungannya ke Sabah sebagai peluang untuk mendekati peminat di Malaysia menerusi muzik dan karya yang dibawakannya.
“Muzik sentiasa menjadi medium yang menyatukan hati dan perasaan. Saya berharap setiap lagu yang dipersembahkan nanti dapat mencipta memori indah bersama peminat di Kota Kinabalu.
“Terima kasih kerana sentiasa memberikan sokongan kepada karya-karya saya,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Teknikal Sembang Kari Entertainment, Alif Rafiq berkata, Melodi Malam 3.0 merupakan sebahagian daripada usaha berterusan pihaknya membawa artis berkualiti dari rantau Nusantara ke Sabah.
Menurutnya, gabungan Sal Priadi dan Raim Laode dalam satu pentas dijangka menawarkan pengalaman muzik yang lebih dekat dan bermakna kepada peminat.
“Melodi Malam 3.0 bukan sekadar sebuah konsert, tetapi sebuah pengalaman muzik yang menghubungkan artis dan peminat dalam suasana yang lebih dekat dan bermakna.
“Kami yakin gabungan Sal Priadi dan Raim Laode mampu memberikan persembahan yang akan dikenang oleh semua yang hadir,” katanya.
Alif berkata, Sabah mempunyai komuniti pencinta muzik yang cukup kuat dan pihaknya berharap konsert berkenaan mampu menghadirkan sebuah malam yang sarat dengan emosi, nostalgia dan kenangan.
Penganjur turut menggalakkan peminat mendapatkan tiket lebih awal berikutan sambutan menggalakkan yang dijangkakan.
Tiket kategori Pria Terhebat ditawarkan pada harga RM229.






