Jangan Wariskan Kebencian, Jadikan Tragedi Perang Iktibar Pelihara Keamanan – Ketua Menteri

Jangan Wariskan Kebencian, Jadikan Tragedi Perang Iktibar Pelihara Keamanan – Ketua Menteri

0
SHARE

SANDAKAN: Tragedi Perang Dunia Kedua termasuk peristiwa Sandakan-Ranau Death March tidak seharusnya dijadikan alasan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya, sebaliknya menjadi peringatan tentang harga kemanusiaan yang perlu dibayar apabila keamanan gagal dipertahankan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, keamanan bukan sekadar untuk diperingati menerusi upacara, tetapi perlu diterjemahkan dalam kehidupan dengan mempertahankan maruah manusia, menyelesaikan pertikaian tanpa keganasan serta tidak memejamkan mata terhadap penderitaan orang lain.

“Kita mesti menolak kebencian, tindakan merendahkan nilai kemanusiaan dan sikap tidak peduli yang memungkinkan penderitaan seperti ini berlaku.

Sejarah ini tidak seharusnya digunakan untuk mewariskan kebencian kepada generasi seterusnya. Sebaliknya, ia mesti mengajar setiap generasi tentang akibat yang boleh dibawa oleh kebencian.

“Kemenangan semata-mata tidak pernah mencukupi sekiranya kita melupakan harga kemanusiaan yang terpaksa dibayar,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan sempena Upacara Peringatan Hari Sandakan di Taman Peringatan Sandakan, di sini, pada Sabtu.

Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri, Datuk Ceasar Mandela Malakun.

Hajiji berkata, antara 1942 hingga 1945 ketika kemuncak Perang Dunia Kedua, kira-kira 2,700 tawanan perang Australia dan British melalui Sandakan dalam peristiwa Death March ke Ranau.

Menjelang Januari 1945, seramai 2,434 tawanan masih berada di situ, terdiri daripada 1,793 warga Australia dan 641 anggota tentera British.

Daripada jumlah berkenaan, 2,428 terkorban dan hanya enam warga Australia terselamat selepas berjaya melarikan diri.

“Hari ini, kita juga mengenang enam orang yang terselamat, iaitu Bill Sticpewich, Dick Braithwaite, Owen Campbell, Keith Botterill, Nelson Short dan Bill Moxham,” katanya.

Menurut Hajiji, kelangsungan hidup mereka merupakan sesuatu yang luar biasa, namun mereka tidak berjaya menyelamatkan diri tanpa bantuan penduduk tempatan.

Antaranya ialah Owen Campbell yang dibantu dua penduduk tempatan dikenali sebagai Lap dan Galunting di Kampung Muanud.

Beliau berkata, keberanian individu lain termasuk Bariga, Dihil bin Ambilid, Abing dan Kulang turut wajar dikenang, selain ramai lagi yang pengorbanan mereka mungkin tidak pernah direkodkan sepenuhnya.

Pada masa sama, Hajiji berkata terdapat usaha terancang dalam kalangan penduduk tempatan termasuk Johnny dan Lillian Funk serta anggota gerakan bawah tanah Sandakan yang mengumpul maklumat dan membantu tawanan perang meskipun berdepan risiko besar sehingga sebahagian daripada mereka dihukum mati.

“Mereka bertindak tanpa perlindungan dan dengan mempertaruhkan keselamatan diri. Apabila melihat penderitaan, mereka memilih untuk membantu.

“Keberanian mereka adalah sebahagian daripada sejarah Sandakan dan Sabah, dan ia mesti terus dikenang.

“Kadangkala keberanian itu berupa sedikit makanan yang dikongsi secara rahsia. Kadangkala ia berupa tempat untuk berlindung. Kadangkala ia berupa sebuah perahu yang berpatah balik menuju kepada seseorang yang meminta pertolongan,” katanya.

Hajiji berkata, ulang tahun ke-81 berakhirnya Perang Dunia Kedua tahun ini perlu menjadi peringatan bahawa tanggungjawab memelihara keamanan dan sejarah tidak berakhir selepas sesuatu upacara peringatan selesai.

“Tanggungjawab kita berterusan selepas upacara ini. Kita mesti memelihara rekod sejarah, mendidik generasi muda mengenai apa yang berlaku di sini, dan terus mengenang nama para tawanan serta penduduk tempatan yang membantu mereka,” katanya.