KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Armizan Mohd Ali menjelaskan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen GRS, susulan keputusan parti itu menarik sokongan terhadap Kerajaan Negeri.
Armizan berkata, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 pada November tahun lalu, KDM melalui ADUN tunggalnya, Datuk Rusdin @ Musidi Riman yang mewakili Paginatan, memberikan sokongan kepada Datuk Seri Hajiji Noor sebagai Ketua Menteri Sabah.
Menurutnya, keputusan itu menjadikan KDM sebahagian daripada Kerajaan Negeri, namun parti berkenaan bukan parti komponen GRS.
“Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) bukan parti komponen Gabungan Rakyat Sabah (GRS),” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Susulan pengumuman KDM menarik sokongan terhadap kerajaan, Armizan berkata beliau berkesempatan menghubungi Rusdin bagi mendapatkan pendirian ADUN Paginatan itu.
Menurut Armizan, Rusdin menyatakan komitmennya adalah untuk terus berkhidmat kepada masyarakat yang diwakilinya selain mengutamakan kestabilan Kerajaan Negeri bagi memastikan agenda pembangunan untuk rakyat dapat diteruskan.
Rusdin turut bersama dalam satu acara yang melibatkan ADUN-ADUN Kerajaan di Kota Kinabalu pada pagi Sabtu.
Terdahulu, Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter mengumumkan keputusan parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan GRS selepas pertemuan Majlis Tertinggi KDM di Papar.
KDM turut mengesahkan telah mengadakan perbincangan tidak rasmi dengan Parti Warisan (WARISAN) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) mengenai kemungkinan kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).






