Blok Borneo Warisan-STAR-KDM: Perjuangan Rakyat atau Strategi ‘Tebuk Atap’? – Aksyah

Blok Borneo Warisan-STAR-KDM: Perjuangan Rakyat atau Strategi ‘Tebuk Atap’? – Aksyah

0
SHARE

KOTA KINABALU: Jajaran politik baharu membabitkan Warisan, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) dipersoalkan sama ada benar-benar dibentuk untuk memperjuangkan kepentingan rakyat Sabah atau merupakan strategi politik bagi membuka jalan kepada pertukaran kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).

Aktivis politik pro Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Aksyah Nasrah mendakwa perkembangan politik terbaharu membabitkan keputusan KDM menarik sokongan terhadap kerajaan GRS, serta kemungkinan pembentukan “Blok Borneo” bersama Warisan dan STAR, perlu dinilai dalam konteks percaturan politik lebih besar menjelang PRU16.

Menurutnya, pengumuman Pemangku Presiden KDM, Priscella Peter bahawa parti itu menarik sokongan terhadap kerajaan GRS turut menimbulkan persoalan memandangkan KDM bukan parti komponen gabungan berkenaan.

“Setiausaha Agung GRS, Datuk Armizan Mohd Ali sudah menjelaskan bahawa KDM tidak pernah dan bukan sebahagian daripada parti komponen GRS.

Bagaimana sebuah parti boleh mendakwa keluar daripada sebuah gabungan sedangkan mereka tidak pernah menjadi ahli komponen gabungan tersebut?” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Aksyah turut membangkitkan pendirian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paginatan, Datuk Rusdin Riman yang menurutnya memilih untuk terus menyokong kerajaan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Hajiji Noor.

Katanya, pendirian ADUN tunggal KDM itu memperlihatkan perbezaan antara keputusan kepimpinan parti dengan pendirian wakil rakyatnya di peringkat negeri.

“Datuk Rusdin dengan tegas mengumumkan komitmennya untuk kekal menyokong penuh kerajaan pimpinan Datuk Seri Panglima Hajiji Noor demi memastikan kestabilan dan agenda pembangunan rakyat di kawasannya tidak terganggu.

“Apabila kepimpinan parti menarik sokongan tetapi ADUN tunggalnya memilih untuk terus menyokong kerajaan demi rakyat, ia menimbulkan persoalan mengenai hala tuju sebenar keputusan berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, Aksyah turut mempersoalkan kedudukan pemimpin parti yang dikaitkan dengan jajaran politik baharu itu tetapi pada masa sama masih memegang jawatan dalam agensi berkaitan kerajaan negeri.

Beliau merujuk Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan yang menurutnya menerima pelantikan sebagai Pengerusi Lembaga Pemasaran Pertanian Sabah (SAMA) pada April lalu.

Menurut Aksyah, keadaan itu menimbulkan persoalan mengenai konsistensi pendirian politik sekiranya pada masa sama terdapat usaha membentuk jajaran yang berbeza daripada kerajaan GRS.

Beliau seterusnya mendakwa matlamat politik Warisan-STAR-KDM mungkin lebih menjurus kepada usaha memenangi sebanyak mungkin kerusi Parlimen pada PRU16 bagi membolehkan blok berkenaan muncul sebagai “king maker” dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan.

“Saya sudah lama menjangka dan membaca langkah catur politik mereka ini. Sebenarnya, matlamat utama mereka membentuk jajaran ini bukannya untuk membela nasib rakyat, tetapi untuk memastikan mereka dapat membolot kerusi Parlimen yang banyak pada PRU16 nanti.

“Apabila mereka merasakan jumlah kerusi mereka cukup besar untuk menjadi ‘king maker’ di Putrajaya dalam membentuk Kerajaan Pusat, mereka akan menggunakan kedudukan tersebut sebagai modal tawar-menawar politik,” dakwanya.

Aksyah mendakwa pengaruh itu kemudiannya berpotensi digunakan untuk meletakkan syarat dalam rundingan pembentukan Kerajaan Persekutuan, termasuk berkaitan kedudukan kerajaan negeri Sabah.

“Strategi serampang dua mata mereka adalah untuk menggunakan kedudukan di Putrajaya sebagai modal politik bagi menukar kerajaan negeri.

“Jika itu yang dirancang, ini bukan perjuangan untuk MA63 tetapi operasi ‘tebuk atap’ gaya baharu yang mahu menggunakan percaturan di Putrajaya untuk mengambil alih kuasa di Kota Kinabalu,” dakwanya.

Menurut Aksyah, rakyat Sabah perlu menilai setiap jajaran dan percaturan politik berdasarkan kemampuan membawa kestabilan, pembangunan serta pertumbuhan ekonomi kepada negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri ketika ini perlu diberikan ruang untuk meneruskan agenda pembangunan tanpa diganggu episod perebutan kuasa yang berpanjangan.

“Rakyat Sabah hari ini mahukan kestabilan ekonomi, bukannya siri drama perebutan kuasa yang tidak berkesudahan.

“Slogan pejuang negeri boleh dilaungkan seribu kali, tetapi rakyat tidak bodoh untuk membezakan antara pemimpin yang bekerja dengan politikus yang hanya merancang formula perebutan kuasa,” katanya.