MELAKA: Rakyat Sabah tidak harus terus diheret ke dalam politik perkauman dan identiti sempit, sebaliknya persaingan politik perlu berteraskan prestasi, dasar serta kemampuan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkata, kepelbagaian kaum, agama dan budaya di Sabah merupakan kekuatan yang perlu dipertahankan daripada politik yang memecah-belahkan masyarakat.
“Persoalan rakyat hari ini bukan siapa datang daripada kaum atau agama mana, tetapi siapa mampu menyelesaikan masalah dan memenuhi keperluan mereka.
“Sudah tiba masanya kita meninggalkan politik yang berlumba-lumba memainkan sentimen kaum dan agama. Bersainglah melalui dasar, prestasi dan kemampuan memberikan kehidupan yang lebih baik kepada rakyat,” katanya dalam kenyataan sempena Kongres Nasional KEADILAN 2026 di MITC, Melaka.
Mustapha berkata, KEADILAN Sabah mahu pendekatan Ekonomi Berasaskan Keperluan (Needs-Based Economy) diperkukuhkan supaya dasar dan bantuan kerajaan ditentukan berdasarkan keperluan sebenar rakyat, tahap pendapatan, jurang pembangunan serta realiti geografi, bukannya semata-mata berasaskan kaum atau pendekatan seragam.
Menurutnya, pendekatan itu amat penting bagi Sabah khususnya dalam menangani isu subsidi bahan api, pendidikan, kesihatan, bekalan air dan elektrik, jalan raya, internet serta pembangunan luar bandar.
“Atas prinsip ini, KEADILAN Sabah memohon pertimbangan Kerajaan Persekutuan supaya kuota diesel dan petrol dinilai semula bagi menampung keperluan rakyat Borneo,” katanya.
Beliau berkata, peningkatan Pemberian Khas Sabah daripada RM600 juta kepada RM1.5 bilion di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI menunjukkan ketidakseimbangan pembangunan boleh ditangani melalui dasar yang mengambil kira keperluan wilayah.
Pada masa sama, Mustapha menegaskan penyelesaian hak Sabah terhadap 40 peratus hasil bersih Persekutuan yang diperoleh dari negeri itu perlu terus diberi keutamaan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan semangat Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, politik masa depan Sabah harus dinilai berdasarkan hasil yang mampu diberikan kepada rakyat, bukannya sentimen kaum dan agama.






