KOTA KINABALU: Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan waris seorang lelaki warga Indonesia yang meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan jalan raya pada awal pagi Ahad lalu dan mayatnya masih belum dituntut di Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth II (HQE II).
Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dalam satu kenyataan memaklumkan, mangsa dikenal pasti sebagai Jusua Jensi, 46, yang beralamat di Kampung Likas, Kota Kinabalu.
“Si mati disahkan meninggal dunia pada 16 Ogos 2026, kira-kira jam 3.50 pagi di Jabatan Kecemasan dan Trauma, HQE II, Kota Kinabalu.
“Sehubungan itu, ahli keluarga, waris atau mana-mana individu yang mengenali si mati diminta menghubungi pihak polis dengan kadar segera bagi membantu urusan pengesanan waris dan pengurusan jenazah,” menurut kenyataan IPD Kota Kinabalu.
Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan boleh menghubungi Hotline IPD Kota Kinabalu di talian 088-529 222.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa terbabit dalam kemalangan membabitkan sebuah Perodua Viva dan bas di Likas sebelum disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HQE II.
Menurutnya, siasatan awal mendapati mangsa yang datang dari arah Inanam dipercayai keluar dari jalan susur untuk membuat pusingan U.
Pada masa sama, sebuah bas dipandu lelaki berusia 34 tahun sedang bergerak lurus dari arah pusat bandar raya Kota Kinabalu menuju ke Inanam sebelum berlaku perlanggaran.
“Bas berkenaan melanggar bahagian sisi kiri Perodua Viva menyebabkan kenderaan itu terseret kira-kira 15 meter,” katanya.
Polis berharap hebahan berkenaan dapat membantu mengesan keluarga atau waris mangsa bagi membolehkan urusan tuntutan dan pengurusan jenazah diselesaikan.






