INDIA: Seorang murid lelaki berusia enam tahun meninggal dunia selepas didakwa ditampar oleh guru sekolahnya pagi tadi kerana tidak menyiapkan tugasan rumah dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi di Little Gardens School di India
Menurut pegawai Balai Polis Vizag One Town, polis telah mendaftarkan kes berhubung kejadian itu dan memperoleh rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari dalam bilik darjah yang menunjukkan guru berkenaan menampar mangsa, Pranay Teja.
“Selepas ditampar, murid itu menangis sebelum rebah dan tidak sedarkan diri dalam pelukan gurunya. Guru berkenaan cuba mengejutkannya sebelum mendapatkan bantuan. Mangsa kemudian dikejarkan ke Hospital King George (KGH), namun meninggal dunia.
“Punca kematian hanya dapat diketahui sekiranya bedah siasat dilakukan, namun ibu bapa mangsa tidak bersetuju,” kata seorang pegawai menurut laporan The Indian Express di sini, hari ini.
Seorang ahli keluarga mangsa mendakwa pihak sekolah tidak memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa walaupun nombor telefon mereka berada dalam simpanan guru kelas dan pihak sekolah.
Sebaliknya, kakitangan sekolah membawa mangsa terus ke KGH dan didakwa mencatatkan dalam nota kemasukan hospital bahawa kanak-kanak itu rebah ketika bermain di kawasan sekolah.
“Sekolah itu tidak mempunyai padang. Pihak sekolah perlu tunjukkan kepada kami di mana padang yang dimaksudkan. Polis sudah mengambil rakaman CCTV yang menunjukkan kanak-kanak itu dipukul di dalam kelas. Guru berkenaan turut menarik bajunya dengan kasar,” kata ahli keluarga mangsa, Parvatiamma.
Ibu bapa dan saudara-mara mangsa yang kecewa kemudian mengadakan demonstrasi di hospital bagi menuntut guru terbabit segera ditangkap.
“Kami mahukan keadilan. Kami mahu guru itu menerima hukuman paling berat. Ada peraturan yang melarang guru memukul murid. Siapa tahu berapa ramai murid yang dipukul guru mereka setiap hari?
“Mereka akan menelefon dan mengganggu ibu bapa sekiranya pembayaran yuran lewat walaupun sehari, tetapi apabila seorang murid tidak sedarkan diri selepas dipukul, mereka langsung tidak mengambil tindakan untuk memaklumkan kepada ibu bapanya,” katanya.
Guru terbabit dilaporkan memberitahu ibu bapa mangsa dan polis bahawa dia tidak menampar murid itu dengan kuat. Menurutnya, dia hanya berbuat demikian selepas mangsa tidak menjawab selama beberapa minit apabila ditanya mengapa kerja rumahnya tidak disiapkan.
Polis berkata kes berkenaan sudah didaftarkan dan guru terbabit mungkin akan ditahan bagi membantu siasatan.






